Rakyat Malaysia ditembak mati
Zulkifli Omar
TUMPAT 13 Julai – Seorang pemuda berasal dari Kampung Paloh Chica di sini maut setelah ditembak dalam sebuah pusat hiburan di Hotel Genting, Sungai Golok, Selatan Thailand, awal pagi ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 2.00 pagi itu, Zulkifli Omar, 23, telah ditembak beberapa das ketika menemani isterinya, Nur Alia Nabila Abdullah, 26, yang bekerja sebagai penyanyi di pusat hiburan di situ.
Nur Alia ketika ditemui di sini berkata beliau dan Zulkifli baru mendirikan rumah tangga dua bulan lalu dan suaminya itu sering menemaninya ke tempat kerja.
“Suami sentiasa menemani saya kerana sejak beberapa bulan bekerja di situ, ada pengunjung lelaki yang suka mengganggu saya,” katanya.
Nur Alia berkata beliau percaya suaminya itu ditembak oleh lelaki yang menaruh hati terhadapnya memandangkan suaminya itu tidak mempunyai musuh.
“Saya tak tahu macam mana kejadian itu berlaku kerana selepas persembahan saya masuk ke bilik air sekejap dan selepas keluar semula saya lihat keadaan di situ kelam kabut sebelum mendapati suami saya terbaring dengan kesan beberapa das tembakan,” katanya.
Beliau berkata suaminya itu kemudian dibawa dengan motosikal rakan ke hospital Sungai Golok bagaimanapun disahkan meninggal dunia sejurus tiba.
Nur Alia berkata beliau mengenali suaminya sejak setahun lalu di Hadyai, sebelum membuat keputusan untuk memeluk Islam dan berkahwin dengannya.
“Sebelum kejadian saya dah merancang untuk berhenti kerja dan berniaga bersama suami tetapi tak sangka perkara ini pula berlaku,” katanya yang memutuskan untuk menetap bersama keluarga arwah suaminya.
Sementara itu, ibu Zulkifli, Aminah Che Kob, 59, menyifatkan anak kelima daripada enam beradik itu sebagai seorang yang baik dan hormatkan keluarga.
“Arwah tak pernah ada musuh dan saya sendiri selalu nasihatkannya supaya berhati-hati ketika tinggal di sana (Sungai Golok) kerana bimbang keselamatannya yang juga berniaga secara kecil-kecilan,” katanya.
Aminah berkata kali terakhir beliau menemui anaknya itu kira-kira pukul 3 petang semalam ketika Zulkifli bersama isterinya pulang selepas menghadiri kursus agama di Perkim, Kota Baharu.
Beliau dimaklumkan anaknya itu mati ditembak kira-kira pukul 4 pagi ini.
Jenazah Zulkifli tiba di rumah keluarganya itu pada pukul 5 petang dan akan dikebumikan malam ini.
Ketua Polis Kelantan Datuk Abdul Rahim Hanafi ketika dihubungi mengesahkan mengenai kejadian itu dan menasihati rakyat Malaysia berhati-hati ketika mengunjungi wilayah bergolak itu.
– Bernama
No comments:
Post a Comment