Friday, July 25, 2008

doktor didakwa bunuh isteri

Doktor didakwa bunuh isteri
Oleh AMIRUDDIN HARUN
KUALA LUMPUR 24 Julai - Seorang doktor berusia 54 tahun dihadapkan ke Mahkamah Majistret Selayang, dekat sini hari ini atas tuduhan membunuh isterinya dipercayai dengan menekup muka mangsa menggunakan bantal.
Jitweer Singh a/l Ojagar Singh dari Setapak didakwa membunuh Shentho Kaur a/p S. Jaswant Singh, 47, antara pukul 5 pagi dan 8.30 pagi, 22 Oktober tahun lalu di No. 27, Jalan 2/3 Bandar Country Homes, Rawang dekat sini.
Tiada pengakuan diambil tetapi sebaik sahaja ditanya oleh jurubahasa sama ada dia memahami pertuduhan yang dibacakan, lelaki itu berkata: ''Faham tapi tidak setuju. Masa tak betul.''
Majistret Rini Triany Muhammad Ali membenarkan permohonan pihak pendakwa untuk memindahkan kes itu ke Mahkamah Tinggi Shah Alam dan menetapkan 22 Ogos ini bagi sebutan semula. Tertuduh diwakili peguam T. S. Kumari.
Memetik laporan akhbar, doktor tersebut pernah ditahan sebelum ini berikutan penemuan mayat isterinya di banglo mereka di Rawang dan kematiannya dipercayai akibat kesukaran bernafas disebabkan mukanya ditekup dengan bantal.
Penahanan itu susulan daripada dua laporan polis yang dibuat oleh mangsa sebelum ini yang mendakwa didera suaminya.
Semasa ditahan ketika itu, dia juga didapati positif dadah jenis syabu selepas menjalani ujian air kencing.
Sementara itu, seorang warga Indonesia, Sadri Mad Nor, 25, turut didakwa di mahkamah sama atas tuduhan membunuh teman wanita senegara yang hanya dikenali sebagai Nurlela.
Mengikut pertuduhan, Sadri didakwa membunuh Nurlela, 27, di antara pukul 11.50 malam, 11 Julai lalu di hadapan kedai besi No. 14, Jalan 1 Selayang Baru, Batu Caves, dekat sini, semalam.
Rini Triany menetapkan 22 Ogos ini untuk sebutan semula.
Pertuduhan kedua-dua kes itu dikemukakan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Mohd. Nordin Ismail di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan.Posted by Picasa

No comments: