Tuesday, August 25, 2009

PENYAKIT KETAGIH KERJA


PENYAKIT KETAGIH KERJA

Ketagih kerja merupakan satu fenomena hidup yang popular di kalangan masyarakat dunia hari ini. Orang yang ketagih kerja samalah seperti orang yang ketagih arak dan dadah. Dia merasakan sesuatu tidak kena pada dirinya melainkan jika dia berada dalam suasana pekerjaannya, samada dia melakukan pekerjaan ataupun memikirkan tentang pekerjaan. Dia pergi ke tempat kerjanya lebih awal daripada pekerja-pekerja lain dan dia pulang paling lewat. Dia biasa pergi ke pejabatnya pada waktu malam untuk menyiapkan kerjanya. Dia juga biasa membawa pulang fail-fail pejabat ke rumah untuk disiapkan Sebelum menjelang waktu kerja pagi esoknya. Dia memberus gigi sambil memikirkan tentang kerjanya. Dia bersarapan sambil memikirkan tentang kerjanya. Dia memandu kereta sambil memikirkan tentang kerjanya. Dia berjalan sambil memikirkan tentang kerjanya. Walaupun kebanyakan daripada masa sudah dihabiskan untuk kerja namun, dia masih merasakan masih ada kerja yang belum diselesaikannya. Dia masih juga mecari peluang untuk membuat kerjanya.

Orang ini melakukan kerjanya dengan cermat. Begitu yang dikehendakinya daripada pekerja-pekerja di bawahnya. Dia membuat kerjanya dengan teliti. Dia juga mengawasi kerja orang lain supaya mereka juga membuatnya dengan teliti. Dia tidak dapat menerima sebarang kesilapan, walaupun kesilapan itu kecil pada pandangan orang lain. Dia mahu kerja dilakukan dengan tepat, kemas dan sempurna.

Semua masa dan kesempatan digunakannya untuk kerja. Dia tidak ada masa untuk kegiatan yang tidak bersangkutan dengan kerjanya. Dia jarang mengambil peluang untuk menghadiri majlis perkahwinan dan kematian yang diadakan dalam masyarakat sekalipun melibatkan keluarga yang terdekat. Dia juga tidak berkesempatan untuk menghantarkan anaknya yang sakit ke klinik, apalagi mahu membawa keluarganya bersiar-siar. Semuanya diuruskan oleh isterinya. Urusan rumahtangga adalah urusan isteri. Dia pula bertanggungjawab ke atas tugas menyara kehidupan keluarga. Bila tugas utama dilakukannya dengan baik dan sempurna maka perkara-perkara lain yang kurang utama boleh dilakukan oleh orang lain. Dia tidak Perlu lagi diganggu dengan perkara yang tidak penting.

Prinsip hidup orang ini ialah “Pekerjaan diutamakan!”. Orang sakit boleh sampai ke hospital tanpa campur-tangannya. Orang mati boleh bersemadi di dalam tanah tanpa campur-tangannya. Orang yang mahu berkahwin b oleh menghadap Qaddi tanpa campur-tangannya. Anak isteri boleh meneruskan kehidupan mereka dengan segala kemudahan yang disediakannya, tidak perlu lagi merenget kepadanya. Tetapi, pekerjaannya tidak boleh menjadi sempurna tanpa penglibatan dirinya. Sentuhan ajaibnya penting bagi menjamin urusan pekerjaan berjalan dengan lancar. Di tempat kerja itu dia adalah umpama jantung yang mengepam darah ke seluruh anggota tenaga kerjanya. Jika dia tidak berfungsi maka semua anggota akan menjadi lumpuh. Oleh sebab anggota kerjanya tidak boleh berfungsi dengan baik jika dia tidak hadir, sebaliknya masyarakat boleh terus bergerak tanpa kehadirannya, oleh itu wajar baginya menumpukan sepenuh perhatian kepada pekerjaan dan dia tidak perlu melibatkan dirinya dengan aktiviti masyarakat.

Orang ini tidak memperdulikan pandangan jiran dan masyarakat terhadap dirinya. Mereka boleh berkata apa sahaja, yang penting dia mempunyai kesedaran bahawa dia tidak merosakkan dan menyusahkan sesiapa. Walaupun dia tidak menyertai aktiviti masyarakat namun, dia tidak menghalang anak isterinya berubat demikian. Jadi, baginya tidak ada apa yang kurang dan membolehkan masyarakat menuntut sesuatu daripadanya. Soal sebahagian anggota masyarakat mencemuh dan beranggapan yang tidak baik terhadap dirinya itu adalah soal remeh-temeh yang tidak perlu diberi perhatian. Keadaan yang sama juga berlaku antara orang ini pekerja-pekerja bawahannya. Dia tidak menghiraukan anggapan dan tohmahan mereka. Mereka boleh mengatakan apa sahaja mengenainya. Mereka boleh meletakkan gelaran apa sahaja kepadanya. Dia tidak berasa tersinggung. Padanya sudah menjadi perkara biasa bagi orang yang menjalankan pekerjaan yang baik menerima tentangan daripada setengah pihak. Perkara yang penting adalah mereka yang tidak menyukainya tidak menemui kesalahannya. Dia tidak sensitive terhadap ahli masyarakat dan ahli tempat kerja. Tetapi, dia sangat sensitif terhadap tiga orang, iaitu ketuanya, isterinya dan anaknya. Dia mudah tersinggung jika ketuanya mengkritik pekerjaannya yang telah dibuatnya dengan sebaik mungkin. Dia mudah melenting jika isterinya mengingatkannya tentang soal urusan rumahtangga dan jiran mereka. Dia mudah meradang jika anaknya tidak mendengar cakapnya.

Orang yang menghidapi penyakit ketagih kerja biasanya dapat menikmati kejayaan dalam kerjayanya bagi satu tempoh. Tidak dapat dipastikan berapa lama dia boleh bertahan dengan kejayaan tersebut. Tetapi, yang pasti dia akan sampai kepada had maksimum kejayaannya kemudian keupayaannya akan menjunam turun. Dia telah menambahkan penggunaan kuasanya dari hari ke hari, bertahan-tahun lamanya, sehingga sampai kepada peringkat kilang pengeluaran kuasanya tidak mampu membekalkan kuasa yang diperlukannya. Dia terus memaksa jentera kilangnya supaya terus meningkatkan bekalan kuasa. Pada satu peringkat dia menyangka keupayaannya menurun. Sebenarnya dia sentiasa meningkat sehingga dia sampai kepada had maksimum. Pada had maksimum itu dia bertahan, tidak meningkat, lalu dia menyangkakan itu sebagai tanda kemerosotan. Orang yang tidak sedar bahawa dia telah sampai kepada had maksimum keupayaannya, masih juga memaksa jenteranya mengeluarkan kuasa yang lebih, maka orang ini akan menemui mala petaka yang besar. Ibaratnya orang yang tidak yang dia sudah berada di puncak bukit dan dia terus juga menekan minyaknya, dia enggan menekan brek, maka dia akan meluncur turun dengan lajunya lalu terjun ke dalam gaung. Kita boleh temui orang-orang yang sedemikian di dalam berbagai-bagai golongan masyarakat. Seorang seniman pada zaman kegemilangannya berjaya menghasilkan karya yang bermutu tetapi dia sampai kepada tahap memaksa dirinya melakukan lebih daripada kemampuannya, dia tidak lagi mampu menghasilkan karya bermutu. Seorang pemimpin yang asalnya berkarismatik, apabila sampai kepada peringkat memaksa dirinya agar lebih berkarismatik, dia akan berubah menjadi seorang badut. Seorang ahli perniagaan yang tidak tahu mengubah haluan apabila dia sampai ke penghujung bidangnya akan membawa kejatuhan kepada empayarnya. Seorang pelajar yang memaksa dirinya agar belajar lebih daripada kemampuannya akhirnya terperangkap untuk membaca ayat yang sama berulang-ulang dan dia tidak berdaya untuk berpindah kepada ayat yang lain.

Sesiapa sahaja yang sampai kepada benteng kebuntuan hendaklah membuat kaji-selidik mengenai dirinya. Orang yang mengikuti kedegilan nafsunya dengan merempuh benteng kebuntuan itu akan tercampak ke dalam dimensi lain yang tidak ada kenyataan di dalamnya. Apa yang ada hanyalah kekeliruan. Orang sesat di dalam kekeliruan akan lebih sukar untuk kembali ke alam nyata. Tidak sedikit bilangan manusia yang sesat di dalam alam kekeliruan dan tidak dapat kembali ke alam nyata, kesudahannya mereka bermastautin di hospital sakit jiwa. Jadi, janganlah cuba-cuba menembusi benteng kebuntuan itu, sekalipun anda seorang yang berpendidikan tinggi dan berilmu banyak kerana segala sesuatu mempunyai hadnya termasuklah ilmu anda.

Benteng kebuntuan adalah isyarat supaya anda berehat, bertenang dan mengosongkan fikiran anda daripada bahan-bahan berkaitan pekerjaan. Anda perlu mengambil cuti dan memisahkan secara menyeluruh dengan pekerjaan anda buat seketika. Anda mesti berhadapan dengan salah satu daripada dua jenis kebimbangan. Pertama, anda keberatan untuk pergi jauh dari tempat kerja anda mungkin kerana anda bimbang jika anda tidak ada pekerja-pekerja lain tidak dapat mengeluarkan hasil sebagaimana ketika anda ada. Kemungkinan yang kedua ialah anda bimbang jika semasa ketiadaan anda ada pekerja di bawah anda mampu menghasilkan kerja yang lebih baik daripada apa yang anda dapat hasilkan, dan dengan demikian imej anda dan kedudukan anda tergugat. Walau jenis apa daripada dua jenis kebimbangan ini, ia akan menguasai anda dan menjadi racun yang boleh membunuh anda jika anda enggan melepaskannya.

Sekiranya anda bimbang dengan ketiadaan anda (kebimbangan pertama), kerja tidak dapat berjalan dengan baik, maka anda pergilah melawat Makam Pahlawan. Di sana anda boleh bertafakur mengambil iktibar. Di Makam Pahlawan itu bersemadi jasad tiga orang bekas Perdana Menteri negara. Semasa era Perdana Menteri Pertama rakyat umum berasa bimbang dan kurang yakin ada orang lain yang dapat mengambil alih jawatan tersebut dan menjalankan tugas sebaliknya. Bila Perdana Menteri Pertama mengundur diri jawatan tersebut diambil alih oleh orang lain di tengah-tengah kebimbangan dan ketidakyakinan rakyat umum. Perdana Menteri kedua membuktikan kebimbangan rakyat tidak berasas. Pembangunan negara terus berkembang sehingga menimbulkan kekaguman rakyat. Kekaguman itu sekali lagi melahirkan kebimbangan pada rakyat. Rakyat bimbang Perdana Menteri ketiga tidak mampu meneruskan arus pembangunan yang sedang pesat mengalir. Perdana Menteri ketiga membuktikan ketegasan dan disiplinnya mampu meneruskan perjuangan yang ditinggalkan dua orang Perdana Menteri sebelumnya. Kemudian Perdana Menteri keempat mengambil alih jawatan yang paling penting di dalam negara itu. Beliau telah berjaya membawa perubahan besar kepada negara dalam banyak segi sehingga negara dikenali di seluruh dunia. Hal demikian menyebabkan ada sebahagian rakyat berasa bimbang dan menggertak diri mereka sendiri apakah yang akan terjadi bila tiba masanya Perdana Menteri yang sangat berwawasan ini mengundurkan diri. Apakah penggantinya mampu merealisasikan wawasan yang diasaskannya? Rakyat terus dihantui oleh kebimbangan demi kebimbangan. Tetapi, bertafakur di Makam Pahlawan membuat kita yakin bahawa negara tidak akan berhenti melahirkan pahlawan-paahlawan yang akan mengharumnkan nama negara ke seluruh dunia. Mungkin satu hari nanti lahir pahlawan-pahlawan yang akan memegang jawatan Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu, membawa negara mengatasi Jepun dalam bidang teknologi, membawa negara menjadi satu kuasa besar dan lain-lain.

Kebimbangan yang kedua ialah anda takut kedudukan anda tergugat jika orang lain mampu menjalankan tugas anda. Mungkin kebanyakan orang menganggap kebimbangan begini sebagai satu perkara kecil yang tidak memberi kesan kepada kehidupan manusia. Jika kita kaji perjalanan sejarah dunia kita akan dapati kebimbangan yang dianggap kecil ini telah banyak merosakkan kehidupan manusia dan mengubah perjalanan sejarah. Ramai bos yang tidak memberi kesempatan kepada pegawai-pegawainya yang berpotensi kerana takut kedudukannya terancam. Ramai pemain bola sepak veteran sengaja memisahkan pemain baharu ketika latihan agar bakat pemain baharu itu tidak terserlah. Kebimbangan yang demikian juga membuat seorang raja menghalau adiknya dari negerinya atau memenjarakan adiknya itu agar tidak ada orang yang layak menggugat takhtanya. Kebimbangan yang seperti ini juga membuat pemimpin politik ‘menutup pintu’ kepada tokoh-tokoh politik yang boleh mencabar kedudukannya.

Kebimbangan yang nampaknya kecil ini sebenarnya adalah satu tenaga yang kuat dan sukar dikalahkan. Samalah seperti anak kecil yang takutkan hantu. Walau semua orang mengatakan hantu tidak wujud namun, anak kecil itu tetap takutkan hantu kerana hantu benar-benar wujud dalam khayalan dan fikirannya. Fikiran orang dewasa juga boleh diganggu oleh hantu dalam bentuk takut dan bimbangkan masa depan. Ketakutan dan kebimbangan seperti ini benar-benar wujud dalam diri seseorang itu, sama seperti penyakit barah yang mengenai tubuh badan. Apa yang penting bagi orang yang berkenaan ialah dia perlu menerima hakikat penyakitnya itu, sebagaimana pesakit barah menerima hakikat penyakitnya. Dia tidak perlu berasa malu untuk berubat demikian, sebagaimana pesakit barah tidak malu memberitahu doktor tentang penyakitnya. Jika seseorang itu berjaya mengakui dirinya berpenyakit bermakna dia sudah berjaya mengubati separuh daripada penyakit itu. Proses yang seterusnya adalah lebih mudah.

Sebaiknya orang yang menghidapi penyakit begini perlu menemui pakar psikologi dan menjalani rawatan psychotherapy. Pakar psikologi membantu pesakit menyelam ke dalam lautan sejarah hidupnya dan mencari serta mengenal-pasti punca-punca, gejala-gejala atau kejadian-kejadian yang telah mempengaruhi dan menguasai pesakit sehingga terbentuk sifat-sifat yang merosakkan dirinya sendiri. Pesakit dibawa melihat bagaimana kejadian yang sekian lama berlaku dahulu dapat mempengaruhi hidupnya. Pesakit juga dibawa memahami bagaimana dia telah membiarkan Kejadian menguasai dirinya dan bukan dia yang menguasai kejadian yang menimpanya. Pesakit diberikan kesedaran tentang apa yang akan terjadi apabila dia melepaskan kawalan terhadap dirinya dan tanpa disedarinya dia telah membiarkan dirinya ‘dirasuk’ oleh anasir luar yang dibawa oleh kejadian yang mengenainya. Bila dia dirasuk dia kehilangan sifatnya yang asli dan mengambil sifat yang terhasil daripada kejadian yang merasuknya itu sebagai sifatnya sendiri. Dia tidak sedar yang dia sudah menjadi tunggangan anasir kejadian yang menimpanya.

Kejadian yang berlaku semasa kanak-kanak banyak mempengaruhi dan menguasai seseorang dan membentuk peribadi yang dibawa sehingga mati. Misalnya, seorang ahli yang berjaya dalam kerjayanya, apabila ditanya bagaimana dia boleh berminat menjadi seorang politikus, dia mengeluarkan sekeping gambar hitam-putih yang dikerat dari suratkhabar yang telah lusuh. Gambar itu menunjukkan seorang kanak-kanak yang sedang bersalaman dengan Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj. Ahli politik itu memberitahu bahawa kanak-kanak dalam gambar itu ialah dirinya sendiri ketika berumur enam tahun. Tangannya pernah sekali bersalaman dengan Perdana Menteri. Mereka bersalam hanya beberapa saat sahaja namun, salaman ajaib itu telah memahatkan cita-cita dan azamnya untuk menjadi seorang ahli politik, macam Tunku Abdul Rahman. Dia tidak berganjak daripada cita-citanya yang tercipta daripada sentuhan Perdana Menteri itu.

Petikan dari artikel dari: http://tamansufi.tripod.com/peny04d05.html

2 comments:

Siti Sarah Othman said...

Salam..
Masa kerja, kerjalah..
Masa rehat, rehat..
barulah seimbang tatacara hidup.
hehe

Anonymous said...

wsalam,setuju.