30 maut dalam nahas pesawat Sudan Airways
NAHAS NGERI: Imej video menunjukkan pasukan penyelamat cuba memadamkan kebakaran pesawat A310 Sudan Airways di Khartoum, semalam.
Pihak berkuasa sah 170 terselamat selepas enjin A310 terbakarKHARTOUM: Sekurang-kurangnya 30 maut, manakala 14 lain hilang selepas sebuah pesawat Sudan Airways terbakar sejurus mendarat di lapangan terbang Khartoum, awal pagi semalam. Pesawat jenis Airbus A310 Sudan Airways itu membawa 203 penumpang dan 11 anak kapal dan punca kejadian dikaitkan dengan keadaan cuaca buruk dan masalah teknikal. Pihak lapangan terbang mendakwa enjin pesawat itu terbakar dan merebak ke tangki minyak.
Bagaimanapun, petang semalam, pihak berkuasa berkata 170 orang terselamat daripada nahas itu dan mangsa yang rentung itu sudah dibawa ke rumah mayat. Laporan awal mendakwa separuh penumpang itu maut dalam nahas pesawat dari Amman ke ibu negara Sudan itu. Amman destinasi popular bagi golongan kaya Sudan untuk mendapatkan rawatan perubatan. "Kami cuma ada 28 mayat di rumah mayat Khartoum. Setakat ini 121 disahkan selamat, 22 daripadanya cedera," kata Ketua Pengarah Siasatan, Taher al-Haj Ibrahim, awalnya.
"Mangsa lain yang belum ditemui kami anggap sebagai hilang. Beberapa maklumat diterima mendakwa ada penumpang terbabit terus pulang ke rumah sebelum keterangan mereka diambil," katanya. Pihak berkuasa penerbangan Sudan sudah memulakan siasatan rasmi mencari punca nahas biarpun beberapa laporan berbeza mengaitkan cuaca atau masalah teknikal. Lapangan terbang itu dijadual dibuka semula jam 12 tengah hari waktu tempatan, lapor agensi berita rasmi, MENA. Pihak berkuasa lapangan terbang mendakwa pesawat itu terbakar manakala mangsa yang terselamat mengaitkannya dengan cuaca buruk Khartoum yang dilanda ribut pasir dan hujan lebat.
Pesawat itu terbang dari Amman melalui Damsyik tetapi terpaksa berpatah balik sekali dari Khartoum akibat cuaca buruk dan diarah mendarat di Port Sudan sebelum dibenarkan mendarat di Khartoum semula, lapor agensi berita rasmi SUNA. "Ada letupan berlaku pada salah satu enjinnya yang menyebabkan pesawat itu terbakar," kata Pengarah lapangan terbang, Yussef Ibrahim dalam satu wawancara dengan stesen televisyen tempatan. Imej dipaparkan di kaca televisyen menunjukkan api marak di bahagian atas saluran tangki minyak beberapa jam selepas kebakaran. "Pesawat itu mendarat jam 8.45 malam," kata pegawai Jabatan Penerbangan Awam El-Sheikh el-Faki. "Ia mendarat sebaiknya tetapi kemudian terbabas lalu terbakar." Menteri Pengangkutan Mabruk Mubarak Salim mendakwa cuaca buruk antara punca utama nahas. Pegawai keselamatan yang enggan dikenali berkata beliau mengambil bahagian dalam operasi menyelamat dan melihat sekurang-kurangnya empat terperangkap kerana terikat pada tali keselamatan di dalam bangkai pesawat. - AFP
No comments:
Post a Comment