12: SOROTAN KES-KES YANG TELAH DIBINCANGKAN
Kita biasa berhadapan dengan cermin. Cermin membantu kita melihat diri kita, memudahkan kita menyikat rambut, mengenakan alat solek juga membetulkan pakaian. Ia juga menolong kita melihat uban di kepala dan melihat gigi yang berlubang. Tanpa cermin kita tidak dapat melihat diri kita. Kita akan mengalami kesukaran untuk memperkemaskan diri dan membetulkan bahagian yang tidak elok. Kes-kes yang telah dibincangkan menjadi cermin untuk kita melihat ke dalam diri sendiri supaya kita dapat melihat kecacatan yang ada di dalam serta mengenakan ubat atau penawar di mana perlu. Mencermin diri yang di dalam lebih penting daripada mencermin diri yang di luar. Diri yang di dalam menentukan arah kehidupan sementara diri yang di luar hanya mengikut. Seorang wanita boleh bersolek berjam-jam lamanya di hadapan cermin kerana dia mahu berjumpa enggan pembesar negeri. Dia sudah cukup berpuas hati melihat dirinya sudah cukup kemas dan sempurna. Malangnya apabila dia berhadapan dengan pembesar berkenaan dia masih berasa serba salah, serba tidak kena padahal dia tahu bahawa semuanya sudah tidak salah dan tidak ada yang tidak kena. Inilah yang sering terjadi jika seseorang itu hanya membetulkan diri yang di luar sahaja tanpa membetulkan diri yang di dalam.
Kes-kes yang telah dibincangkan memberi kita garis panduan untuk kita mengenal penyakit-penyakit yang dihidapi oleh diri kita yang di dalam, mengesan puncanya dan merawatinya. Kita sedar bahawa penyakit yang di dalam itu sangat berbahaya dan kita juga tahu bahawa penyakit tersebut menawan mangsanya tanpa disedari oleh si mangsa itu sendiri.
Setelah kita dapat memahami keadaan penyakit yang di dalam kita dapat rasakan yang diri kita hanya alat kepada tenaga lain yang menjajah kita. Biasanya kita menganggapkan kita yang memperalatkan tenaga tersebut. Kita telah terkeliru kerana kita tidak dapat membezakan di antara diri kita yang asli dengan tenaga yang mendatang. Kita juga tidak dapat mengasingkan tenaga yang mendatang itu kepada tenaga kebaikan dan tenaga perosak. Kita telah menerima semua yang datang dan mengakuinya sebagai hakmilik kita sendiri.
Bila kita lihat kepada diri kita yang zahir atau jasmani, kita dapati jasmani kita memperolehi tenaga melalui makanan dan minuman yang masuk ke dalamnya. Apa yang dimakan dan diminum itulah menentukan tenaga yang akan terbentuk di dalam tubuh kita. Kita memakan makanan seperti daging lembu, ikan, telur, sayur-sayuran dan buah-buahan. Makanan yang kita makan itu apabila masuk ke dalam perut akan diproses untuk dijadikan tenaga, khasiat, vitamin dan sebagainya. Makanan menjadi alat dan kesan daripada makanan tersebut yang mempengaruhi tubuh kita. Makanan yang berkhasiat menyihatkan badan dan makanan yang tidak baik pula boleh menyebabkan badan berpenyakit. Apa juga penyakit yang mengenai tubuh badan adalah melalui sesuatu yang masuk ke dalam tubuh badan itu.
Keadaan yang sama juga berlaku kepada diri yang di dalam. Peristiwa dan pengalaman menjadi makanan yang mempengaruhi diri dalaman. Sifat atau tenaga yang lahir dari pengalaman menjadi kekuatan atau kelemahan diri. Tenaga atau kekuatan dalaman hanya terbentuk mengikut pengalaman yang dialami. Termasuk di dalamnya adalah pendidikan dan pembelajaran.
Bila kita menyusuri perjalanan tenaga-tenaga yang kita miliki maka kita dapati kebanyakannya berakar umbi kepada rumah tangga. Latar belakang keluarga memainkan peranan penting di dalam proses pembentukan peribadi kanak-kanak. Sifat dan didikan ibu bapa menjadi bahan penting yang menghasilkan tenaga dalam diri anak-anak. Rumah tangga merupakan kilang yang besar memasukkan tenaga ke dalam diri seseorang individu. Rumah tangga juga menjadi medan pertempuran apabila dua individu yang terbentuk daripada dua buah rumah tangga yang berbeza hidup sebagai suami isteri dalam sebuah rumah tangga. Kebanyakan pasangan memasuki alam rumah tangga yang dikongsikan bersama dengan membawa tenaga-tenaga yang bersedia untuk bertempur. Pertempuran itu berlaku tanpa disedari oleh orang-orang yang terlibat tetapi kesannya dapat dilihat dan dirasai. Apabila kesannya kuat sesebuah rumah tangga menjadi hangat. Tidak bersefahaman dijadikan alasan. Punca sebenar terus tersembunyi, sehingga banyak pasangan mengakhiri perkongsian mereka tanpa sebab terjadi demikian.
Penyakit yang dihidapi itu dibawa pula ke dalam rumah tangga yang baharu. Begitulah halnya terus menerus. Kanak-kanak yang telah kemasukan tenaga perosak di dalam rumah tangga ibu bapanya akan membawa tenaga tersebut ke dalam rumah tangganya sendiri kelak. Kemudian dia membiarkan tenaga itu merosakkan rumah tangganya dan memasukkan pula tenaga tersebut ke dalam diri anak-anaknya yang diturunkan pula kepada cucu-cucunya. Tenaga perosak itu menjadi pusaka hingga timbul ungkapan bapa borek anak rintek. Perkara semacam ini amat ketara dalam masyarakat sehingga timbul pengenalan ‘keturunannya memang suka berbini ramai’ atau ‘keturunannya memang suka memukul bini’. Jadi, tenaga yang menggerakkan seseorang untuk berbini ramai atau memukul bini diperturunkan kepada generasi lain, dan tidak diubati.
Kita juga melihat keanihan penyakit dalaman bertindak. Ia tidak semestinya melepaskan geram kepada orang yang bertanggungjawab mengwujudkan penyakit tersebut. Lebih kerap ia bertindak ke atas orang lain yang tidak bersalah dengannya. Abu Zalim tidak melepaskan geram kepada bapa atau kakaknya, tetapi anak si kakak itu yang menjadi mangsa. Siah tidak melepaskan geram kepada bapanya sebaliknya suaminya yang menjadi mangsa. Siti Muslihat tidak melepaskan kepada Mat Salleh tetapi bertindak terhadap Mat Saad. Oleh sebab orang yang menjadi mangsa itu tidak bersalah maka muncullah dalam dirinya tenaga yang memberontak terhadap tekanan yang dihadapinya. Akibatnya peperangan berjalan terus, pusaka mempusakai dari satu keturunan kepada keturunan yang seterusnya.
Kita ingin menarik perhatian orang ramai kepada perkara yang biasa berlaku kepada diri kita. Kaum wanita selalunya lebih mudah dikuasai oleh tenaga perosak. Kaum lelaki pula mudah tunduk kepada tenaga perosak yang berjalan melalui kaum wanita. Kita misalkan satu pasangan suami isteri mempunyai anak lelaki sepuluh orang. Pasangan ini bekerja menoreh getah dan menanam padi. Mereka sanggup mengikat perut demi menyekolahkan anak-anak mereka. Mereka sanggup berhutang, dimarahi dan dihina atau dicaci asalkan pelajaran anak-anak mereka tidak terjejas. Kesudahannya semua anak-anak mereka berjaya dan menjawat jawatan tinggi. Mereka semua sudah berkahwin dengan perempuan yang cantik-cantik dari keturunan orang atasan. Sepuluh orang anak lelaki ibu bapa tadi selalu muncul dalam tv dan surat khabar dan setiap kalinya mereka akan muncul dengan isteri masing-masing. Isteri-isteri yang dibawa menghadiri semua majlis, tidak sekalipun ibu bapa mereka dimunculkan. Tiada siapa yang tahu pengorbanan ibu bapa tersebut dalam menjadikan anak-anak mereka orang yang berjawatan tinggi. Jika soal kejayaan diceritakan maka sokongan galakan isterilah yang diperbesarkan oleh sepuluh orang anak tersebut. Mereka semua tinggal di dalam banglo sementara ibu bapa mereka masih tinggal di dangau penoreh getah. Di dalam banglo milik sepuluh orang anak itu penuh dengan adik beradik, bapa saudara, emak saudara, sepupu sepapat, dua pupu dua papat dan bermacam-macam lagi yang datang dari pihak sebelah isteri.
Keringat dan pengorbanan ibu bapa yang menjadikan anak-anak mewah, tetapi isteri-isteri yang menikmati kemewahan tersebut tanpa menghiraukan si ibu bapa mereka. Malah kehadiran ibu bapa, orang kampung yang tidak berpelajaran, tidak disenangi oleh menantu-menantu takut mereka menjadi pengacau kepada keharmonian rumah tangga anak-anak. Mereka lupa bahawa ibu bapa yang tidak berpelajaran itulah yang telah memberikan pelajaran kepada anak-anak mereka. Satu ibu bapa dapat memelihara sepuluh orang anak sepuluh orang anak tidak dapat memelihara satu ibu bapa. Ibu bapa tidak pernah mengeluh walaupun anak-anak mereka tinggalkan mereka di dangau buruk tetapi isteri si anak akan melenting jika suaminya lupa membelikan hadiah hari jadi. Si ibu bapa menutup mata di dangau buruk dan ada anak yang tidak dapat pulang memberikan penghormatan terakhir kerana isterinya selsema.
Di dalam menentukan samada kita bertindak secara normal atau mengikut tenaga perosak, akal hendaklah dijadikan alat pertimbangan. Tindakan yang dipersetujui oleh akal itulah tindakan yang normal. Sekiranya kita bertindak bertentangan dengan prinsip akal maka tindakan tersebut adalah hasil daripada rangsangan tenaga perosak. Kita haruslah memeriksa diri kita apakah jenis tenaga perosak yang begitu kuat menarik kita lari dari perbatasan akal. Jika kita teliti dengan mendalam akan kita temui kenyataan iaitu tenaga-tenaga penyakit yang merosakkan hidup kita adalah hal yang biasa kita dengar dan kita tahu istilahnya. Di antaranya ialah dendam, tamak, panjang angan-angan, dengki, sakit hati, kecewa, takut, marah, ujub, ria’ dan lain-lain yang berpenghulukan hawa nafsu. Kita sangat takut untuk mengakui yang diri kita dijajah oleh hawa nafsu.
Kita hanya melihat hawa nafsu mempermainkan hidup orang lain, tidak hidup kita sendiri. Kita suka menggunakan berbagai-bagai istilah dan alasan untuk mengelakkan diri kita dari dicap menurut hawa nafsu. Bila orang lain melakukan kesalahan kita katakan mereka berbuat kezaliman dan menabur fitnah. Bila kita sendiri melakukan kesalahan kita katakan yang kita mempertahankan keadilan dan kebenaran serta menceritakan apa yang patut diceritakan. Kita sentiasa benar dan orang lain sentiasa salah. Jika dalam kamus kita tidak ada istilah-istilah seperti: menurut hawa nafsu, salah, buruk dan jahat maka selama-lamanya kita tidak akan dapat memperbaiki diri kita. Setiap orang yang cuba membetulkan kita akan kita anggap sebagai musuh sementara orang yang memperkuatkan penyakit kita akan dianggap sebagai sahabat. Kita akan menghalau orang yang berani menyatakan kesalahan kita dan kita akan melambai orang yang bersedia memberikan bekalan kepada penyakit kita. Kita akan melihat rezeki yang diperolehi oleh orang lain sebagai merampas hak kita sementara rezeki yang kita perolehi adalah kerana kita memang layak menerimanya. Kita akan bermegah dengan apa yang kita capai dan sakit hati dengan apa yang orang lain capai. Kita muliakan kejayaan kita sementara kejayaan orang lain menjadi cabaran yang perlu diruntuhkan. Kita merasakan kemenangan terletak pada orang mendengar perkataan kita sementara kekalahan terletak pada kita mendengar perkataan orang lain. Kita merasakan bahawa yang benar dan berhak adalah kita sementara yang bersalah dan tidak berhak adalah orang lain. Begitulah yang terjadi apabila hawa nafsu sudah menguasai.
No comments:
Post a Comment