14: PERJALANAN SEBAB MUSABAB
Anak saudara Abu Zalim didera sebab dia tinggal di rumah Abu Zalim, sebab Abu zalim telah kemasukan tenaga ganas, sebab ayah Abu zalim memasukkannya tenaga ganas itu, sebab kakaknya berbohong kepada ayah mereka, sebab kakaknya itu berhutang dan tidak mampu membayarnya dan berderet-deret sebab-sebab yang boleh dikaitkan. Alam dunia tempat kita tinggal ini dinamakan alam asbab, sesuatu berlaku menurut hukum sebab akibat. Orang menjadi sakit sebab termakan makanan yang mengandungi kuman. Pesakit menjadi sembuh sebab memakan ubat. Orang menjadi lapar sebab tidak makan dan menjadi kenyang sebab makan.
Kes-kes yang telah dibincangkan memperlihatkan kerapian perjalanan sistem sebab akibat. Berdasarkan sistem itulah pakar jiwa dapat mengesan penyakit-penyakit yang ada dalam jiwa manusia. Sistem yang menyebabkan penyakit itu juga menimbulkan sebab sembuh daripada sakit. Setelah penyakit dikesan, diadakan pula sebab menyembuhkannya. Begitulah secara kasarnya kaedah yang digunakan oleh para doktor yang mengubati penyakit.
Bila kita menggunakan teropong agama kita temui sistem sebab musabab yang lebih luas, halus dan tersembunyi. Kita temui makhluk ghaib yang menjadi sebahagian daripada agen sebab musabab yang menyampaikan kerosakan kepada manusia. Bila ada makhluk ghaib yang menyampaikan kerosakan ada pula makhluk ghaib yang menyampaikan kebaikan. Syaitan menyampaikan kerosakan dan malaikat menyampaikan kebaikan. Begitulah yang diceritakan oleh agama. Syaitan mempunyai tenaga untuk berkomunikasi dengan manusia secara bisikan dan rangsangan hingga menyebabkan manusia menjadi waswas dan seterusnya dirasuk. Tetapi syaitan tidak berupaya menggerakkan anggota manusia. Hati manusia menerima rangsangan syaitan dan hati itulah yang mengarahkan anggota tubuhnya supaya bergerak. Tidak ada anggota tubuh badan manusia yang berani derhaka kepada hati. Rangsangan syaitan boleh diumpamakan sebagai api. Bila tangan manusia tersentuh api, api itu sendiri tidak berupaya mengangkat tangan tersebut tetapi api berupaya merangsang hati agar hati memerintahkan tangan lari daripada api. Api dan syaitan tidak mampu menggerakkan anggota kita tetapi berupaya merangsang kita supaya menggunakan anggota badan kita untuk tujuan tertentu. Syaitan memasukkan rangsangan yang mempengaruhi tindak tanduk kita.
Malaikat adalah lebih ghaib daripada syaitan. Tugas malaikat bermacam-macam. Ada malaikat yang berfungsi sebagai sistem, iaitu malaikat yang berperanan mempastikan segala sistem berjalan sesuai dengan ketentuan Allah s.w.t. Malaikat mempastikan bakat melihat pergi kepada mata, bakat mendengar pergi kepada telinga, bakat mengenal bau pergi kepada hidung dan lain-lain bakat pergi kepada alat yang sesuai dengan masing-masing. Malaikat bekerja dengan tepat dan sempurna. Tidak terjadi kesilapan pada pekerjaan malaikat yang boleh menyebabkan bakat melihat pergi kepada kaki atau bakat mendengar pergi kepada siku. Oleh sebab sempurnanya pekerjaan malaikat maka manusia dapat mengenal pasti sesuatu sistem samada yang mengenai diri mereka atau yang mengenai alam sekitar.
Kesempurnaan pekerjaan malaikat yang menjaga perjalanan matahari, bulan dan bumi membuat manusia dapat menyukat masa kepada tahun, bulan, hari, minit dan saat. Kesempurnaan pekerjaan malaikat yang menjaga bumi dan lapisan-lapisan udara yang mengelilingi bumi menyebabkan manusia dapat membuat ramalan cuaca, ombak, angin dan lain-lain. Kesempurnaan malaikat yang menjaga bahan-bahan menyebabkan manusia dapat menyukat vitamin dan zat yang dimiliki oleh sesuatu bahan dan seterusnya dapat pula dimanfaatkan untuk kesejahteraan hidup manusia. Begitulah kesempurnaan malaikat yang menjaga sistem seluruh alam.
Ada pula malaikat yang bertugas memberi rangsangan kepada manusia. Rangsangan malaikat hanyalah mengajak manusia kepada yang baik-baik, mengajak manusia berbuat taat kepada Tuhan. Rangsangan malaikat ini dipanggil ilham. Hati manusia menjadi bekas untuk menerima ilham malaikat dan rangsangan syaitan. Manusia boleh memilih untuk mengikuti yang mana satu.
Jika kita ingin memperkuatkan diri kita agar tidak tewas ketika berhadapan dengan rangsangan syaitan, perhatikan firman Tuhan dan sabda Rasulullah s.a.w: "Bahawasanya orang-orang yang telah berpaling (melarikan diri) di antara kamu pada hari bertemu dua angkatan tentera (Islam dan kafir), dalam perang Uhud, sesungguhnya mereka telah digelincirkan oleh syaitan dengan sebab sebahagian daripada perbuatan-perbuatan yang salah (pada masa lalu) yang mereka lakukan sendiri. Dan sesungguhnya Allah telah memaafkan mereka, kerana sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyabar". (Surah al-'Imraan, ayat 155).
"Tiap daging yang tumbuh dari yang haram menjadi bahan bakaran api neraka". (Maksud Hadis).
Ayat al-Quran menceritakan sebahagian daripada tentera Islam yang tidak berpegang dengan amanat Rasulullah s.a.w sebab mereka telah digelincirkan oleh syaitan. Syaitan berjaya menggelincirkan mereka kerana perbuatan yang salah yang pernah mereka lakukan sebelum ke medan perang. Perbuatan yang tidak baik yang pernah kita lakukan mengwujudkan kelemahan dalam diri kita, menyebabkan pada saat genting hati kita boleh digelincirkan oleh syaitan. Cuba kita renungkan pula maksud hadis. Kita memasukkan bahan haram ke dalam diri kita. Apa sahaja yang tumbuh daripada bahan haram menjadi bahan bakaran api neraka. Sebelum bahan yang haram itu dibakar di dalam api neraka akhirat ia terlebih dahulu dibakar di dalam api neraka dunia. Apa sahaja yang menjadi azab adalah neraka dunia. Apakah tindak mungkin bahan haram yang kita masukkan ke dalam tubuh kita itu menjadi besi berani menarik penyakit-penyakit dan bala kepada kita? Banyak daripada penyakit jasmani dan rohani yang kita alami tidak diketahui puncanya. Bukan kita sahaja yang mengambil bahan haram yang kita hasilkan. Isteri dan anak-anak kita juga mengambilnya. Tidakkah mungkin ini yang menyebabkan isteri dan anak-anak sering membuat kita menderita? Mengapa harta banyak dan makanan mewah tetapi kita tidak ada selera memakannya atau doktor melarang kita memakannya? Bertambah banyak harta yang kita kumpulkan bertambah kurus tubuh kita. Bertambah banyak kenderaan yang kita beli bertambah ramai ahli keluarga yang mati dalam kemalangan. Hinggakan anak kita diculik orang. Semuanya menjadi azab kepada kita ketika kita masih di dunia. Bagaimana pula keadaan kita di akhirat?
Kita pernah mendengar orang yang sedang sakit tenat, meraung-raung kesakitan dan mencampakkan pakaiannya kerana kepanasan. Ada orang yang hadir di situ membisikkan ke telinga kita. Menurutunya orang sakit itu menjadi demikian kerana dia telah memakan harta pesaka secara tidak benar. Bolehkah penyelewengan dalam pembahagian harta pesaka menyebabkan manusia ditimpa penyakit dan bala? Jika benar maka di sebalik sebab musabab yang nyata ada pula sebab musabab yang tersembunyi. Nampaknya sebab musabab yang tersembunyilah yang lebih kuat mempengaruhi sehingga muncul sebab musabab yang nyata.
Sehingga kini kita melihat beberapa peringkat dalam sistem sebab musabab. Pada permukaannya kita melihat pergerakan atau tindak tanduk benda-benda nyata dan ikhtiar atau usaha menjadi sebab yang menimbulkan sesuatu akibat. Pada lapisan yang mendalam sedikit kita melihat ilham malaikat dan rangsangan syaitan mempengaruhi sebab musabab. Pada lapisan yang lebih mendalam lagi kita temui yang tersembunyi seperti kesan amalan kita yang baik dan yang buruk. Bagi melihat kepada sebab-sebab yang berlapis itu kita lihat kepada seorang yang mengalami kemalangan jalan raya. Pihak polis yang menjalankan siasatan menemui punca kemalangan, iaitu pemandu telah memandu dengan cuai. Memandu dengan cuai menjadi sebab kemalangan. Kemudian pihak bomoh pula membuat siasatan. Bomoh mendapati ada orang yang telah menggunakan ilmu jin dan syaitan untuk mengganggu pemandu berkenaan. Si syaitan telah mendatangkan waswas ke dalam hati si pemandu sehingga dia tidak sedar bahawa dia telah memberi isyarat untuk membelok ke kiri tetapi dia membelok ke kanan. Rangsangan syaitan atau jin menyebabkan berlakunya kemalangan. Ahli agama juga membuat siasatan terhadap kes berkenaan dan mendapati pemandu tadi telah membeli keretanya dengan wang yang dimenanginya ketika berjudi dan hasil judi itu juga dia membeli makanannya. Makanan yang haram menyebabkan terjadi seperti yang dikatakan oleh bomoh, iaitu wujud kelemahan dalam dirinya sehingga syaitan dapat menggelincirkannya ketika terdesak. Kereta yang dibeli dengan hasil judi itu juga menjadi bala. Perbuatan dosa menjadi sebab berlakunya kemalangan. Kereta telah rosak teruk tetapi pemandu selamat daripada maut walaupun banyak bahagian tubuhnya yang luka-luka dan ada tulangnya yang patah. Menurut siasatan polis dia terselamat daripada maut kerana dia memakai tali pinggang keledar. Menurut bomoh pula pemandu itu selamat kerana sebelum menjalankan keretanya dia telah membaca ayat jampi sebagai pendinding. Menurut ahli agama pula pemandu itu pernah menyelamatkan seekor anak kucing yang hampir mati lemas maka sebagai balasan baiknya dia diselamatkan daripada maut. Begitulah gambaran rantaian sebab musabab yang berlapis-lapis membentuk satu sistem yang kemas dan rapi.
No comments:
Post a Comment