8: PERCERAIAN DAN POLIGAMI
Perceraian dan poligami digabungkan dalam banyak hal yang dibincangkan dalam bab ini kerana terdapat banyak persamaan dalam penghuraian tentang kedua-duanya. Kebanyakan krisis rumah tangga berkesudahan dengan salah satu iaitu perceraian atau berpoligami. Dalam masyarakat kita kuasa mentalak dan berpoligami berada dalam tangan kaum lelaki. Oleh yang demikian kita tumpukan penelitian kepada persoalan mengapa kaum lelaki menggunakan kuasa tersebut. Hal yang demikian tidak bermakna dalam semua kes perceraian dan poligami perempuanlah yang bersalah. Kesalahan adalah sesuatu yang relatif bergantung kepada daya nilai individu dan kod penilaian yang digunakan.
Dalam kes Abu Zalim misalnya urutan kesalahan berlarutan. Abu Zalim menyeksa anak saudaranya ketika dia hilang kewarasan dan dikuasai oleh tenaga ganas. Tenaga ganas tersebut berpunca daripada keganasan yang dikenakan ke atasnya oleh bapanya. Bapanya menjadi ganas kerana angkara kakaknya. Abu Zalim bersalah kerana menyeksa anak kakaknya. Ayah Abu Zalim bersalah kerana menyeksa Abu Zalim yang kerananya Abu Zalim menjadi ganas. Kaka Abu Zalim bersalah kerana dia menyebabkan bapanya menyeksa Abu Zalim dan lanjutan daripada itu anaknya sendiri diseksa. Jadi, dalam kes penyeksaan tersebut terdapat rantaian kesalahan. Siapakah yang sebenarnya bersalah? Mahkamah menghukum Abu Zalim kerana lojik yang dipakai dan bidang kuasanya hanya setakat itu. Adakah adil Abu Zalim dihukum atas perbuatan binatang ganas yang menguasainya sedangkan ayahnya yang memaksanya untuk memelihara binatang ganas tersebut yang berpunca pula dari angkara kakaknya. Jika dijejaki kesalahan dan keadilan maka kesudahannya orang yang singkat akalnya akan meletakkan kesalahan kepada Tuhan kerana Tuhan yang melakukan semua perkara tersebut. Mengapa Tuhan berbuat demikian? Bagi menjawab soalan ini Tuhan mengadakan mahkamah akhirat untuk perbicaraan semula semua kes-kes secara seadil-adilnya walaupun kes-kes tersebut sudah selesai dibicarakan di mahkamah dunia. Di mahkamah akhirat Tuhan sendiri yang menjadi Hakim dan Dia akan menyatakan darjah kesalahan masing-masing serta meletakkan hukuman yang paling adil. Oleh yang demikian serahkan kepada Tuhan untuk menentukan pesalah yang sebenar. Kita hanya meneliti kejadian dan mengkaji kesannya kepada kita.
Dalam bab ini kita ingin mengkaji bagaimana seorang suami boleh dikuasai oleh satu tenaga yang membuatnya tidak ada daya untuk melawan melainkan terpaksa tunduk kepada tenaga tersebut untuk samada bercerai atau berpoligami tanpa kita menghukum kaum wanita sebagai pihak yang bersalah.
Sepasang suami isteri telah berkahwin selama lapan tahun tetapi tidak mendapat anak. Si suami mengambil keputusan menceraikan isterinya. Mengapa isteri diceraikan lantaran tidak mendapat anak? Ramai suami lain yang bernasib demikian tetapi tidak menceraikan isteri mereka. Si suami dalam kes ini terus sahaja meletakkan kesalahan kepada isterinya sedangkan dia tidak mahu berjumpa doktor untuk mengesahkan samada dia atau isterinya yang mandul. Sebenarnya dalam hal ini soal anak hanyalah kunci yang membuka kandang dalam diri si suami itu. Di dalam kandang tersebut bersembunyi satu tenaga yang dipanggil ego ayam jantan yang gemar berkokok ke sana ke mari menunjukkan kejantanannya. Si suami itu telah tanpa disedarinya memasukkan tenaga ego ayam jantan ke dalam dirinya. Dia mempertahankan keegoan itu tanpa bertolak ansur. Dia boleh berkelahi jika diperli, dicabar atau diperlekehkan. Dia sentiasa melihat dirinya benar dan berkedudukan mulia. Keegoan ayam jantan yang biasa berkokok itu tercemar akibat dia tidak mendapat anak. Oleh sebab ego tidak pernah salah maka orang lain yang mesti salah. Ini membuat si ego bermusuhan dengan si isteri kerana isteri telah tidak membekalkan bahan untuk si ego berkokok. Si suami telah dikuasai sepenuhnya oleh ayam jantan yang sangat ego itu, sebab itulah dia hanya menurut sahaja bila si ego memaksanya menceraikan isterinya. Kemampuan menceraikan isterinya membuat si ego berasa dia sudah berjaya mempertahankan maruahnya dan membuktikan kejantanannya dan dia sudah boleh berkokok semula.
Dalam kes tidak mendapat anak yang lain pula si isteri yang dikuasai oleh tenaga ego. Apabila suami memilih jalan untuk berkahwin lagi sebagai usaha mendapatkaan zuriat si isteri pula memilih jalan untuk bercerai kerana si ego dalam dirinya tidak membenarkan dia berkongsi suami dengan wanita lain.
Tenaga ego dalam diri ini tidak boleh dipandang enteng. Pernah berlaku di sebuah pekan, seorang lelaki yang ketika mudanya adalah seorang ‘hero’ kemudian mengubah haluan menjadi baik. Dia membuat pekerjaan yang baik, berumah tangga dan mempunyai beberapa orang anak. Satu hari disebabkan sedikit kekeliruan dia telah dibelasah dengan teruknya oleh satu kumpulan penjahat. Kejadian itu berlaku di hadapan orang ramai. Dia telah ditinggalkan separuh mati. Pagi esoknya dengan membawa sepucuk senapang dia pergi ke rumah bos kumpulan yang membelasahnya kelmarin. Tanpa berkata sepatah pun dia terus menembak orang berkenaan. Dia ditangkap dan didapati bersalah membunuh. Apabila hakim menjatuhkan hukuman mati ke atasnya dia masih tersenyum, hatinya puas kerana dia akan mati sebagai seorang ‘hero’ yang mempertahankan maruah dan keadilan.
Kes kajian
Kita kembali kepada soal pergolakan rumah tangga, poligami dan perceraian. Sebagai kes kajian cuba kita teliti dengan mendalam kesah hidup Dato’ Kamasutra untuk memahami bagaimana perubahan jiwa berlaku sehingga dia jatuh cinta lagi sewaktu peringkat umur yang sudah agak tua.
Kamasutra asalnya seorang budak kampung yang kedudukan ekonomi keluarganya sangat sederhana. Apa yang menarik perhatian tentang ahli keluarga ini ialah mereka tidak ‘diizinkan’ menyatakan, melahirkan atau mencurahkan kasih sayang. Anak-anak yang masih kecil hanya dibelai sesudah mereka tidur lenyap. Anak yang menangis kerana rebah akan dimarahi kerana ‘lembik’. Anak yang tidak sengaja membuat sesuatu yang menjatuhkan air muka ibu bapa di hadapan orang lain akan menerima hukuman yang berat. Anak-anak tidak boleh menolong kerja orang tua kerana yang demikian merendahkan martabat orang tua. Walhasilnya anak-anak tidak boleh bermanja kerana itu menandakan kelemahan. Kasih macam mana sekalipun mestilah disimpan di dalam hati sahaja supaya anak-anak tidak mengambil kesempatan.
Tugas utama seorang anak ialah belajar kerana pelajaran amat penting bagi menjamin masa depan. Oleh sebab taraf persekolahan di kampung agak rendah maka anak-anak mesti bersekolah di bandar, tinggal dengan keluarga yang kebetulannya bekerja di sana. Bila memasuki sekolah menengah anak-anak tinggal di asrama supaya pelajarannya lebih terjamin. Tamat sekolah menengah si anak pergi ke universiti dan akhirnya berjaya mendapatkaan ijazah. Berjayalah ibu bapanya memberi pelajaran kepadanya.
Setelah tamat pengajian universiti si anak bekerja di bandar. Jadi, sepanjang proses pembesarannya si anak tinggal jauh dari keluarga sehingga dia tidak mengerti erti kasih sayang dan kemesraan. Begitulah kehidupan yang dilalui oleh Kamasutra.
Kamasutra mengalami kejutan apabila dia berjumpa dengan seorang gadis. Kemunculan gadis tersebut telah dengan tiba-tiba membuka satu pintu yang selama ini tertutup di dalam hatinya. Bila pintu itu terbuka dia menyedari akan kewujudan satu ruang dalam hatinya, ruang yang selama ini tidak diterokainya. Ruang yang sudah sekian lama berada di dalam kegelapan itu tiba-tiba menjadi terang benderang. Cahayanya yang indah melahirkan rasa yang sangat lazat tidak dapat digambarkan. Tahulah Kamasutra bahawa hatinya yang sudah sekian lama hauskan kasih sayang kini diterangi oleh lampu cinta. Gadis yang berjaya menyalakan lampu cinta dalam hatinya itu bernama Sukasih. Sukasih memiliki sifat-sifat yang membuat Kamasutra dapat melakukan apa yang dia tidak pernah diberi kesempatan melakukannya pada sepanjang hidupnya. Apabila terjatuh Kamasutra dapat ‘menangis’ di pangkuan Sukasih. Belaian mesra Sukasih umpama tiupan angin lembut yang mengasyikkan. Ketika kanak-kanak Kamasutra selalu impikan nyanyian kasih tetapi tidak ditemuinya maka lenalah dia sendirian. Kini Sukasih sudah berada di sampingnya, mendodoi penuh syahdu hingga Kamasutra lena beradu. Sukasih memberikan kepada Kamasutra apa yang dia tidak merasai selama dua puluh tahun. Maka Sukasihlah harta yang paling berharga baginya. Sukasih adalah segala-galanya baginya. Di atas tapak keindahan, kemesraan dan kecintaan itulah Kamasutra membena rumah tangganya dengan Sukasih yang istimewa. Kamasutra adalah sentiasa ‘anak manja’ bila bersama-sama Sukasih. Percintaan di antara Kamasutra dengan Sukasih menjadi tali yang menghubungkan ‘anak manja’ yang dahagakan belaian kasih mesra dengan seorang ‘ibu’ yang penyayang, pengasih, penyabar dan pemesra.
Masa berlalu musim beredar, Kamasutra sudah menjadi orang berpangkat tinggi dan sudah bergelar Dato’. Sukasih pula sudah bergelar Datin. Sukasih mula melihat tubuh suaminya sudah bertukar menjadi ‘emas’. Bimbang hatinya takut-takut emasnya dicuri oleh perempuan lain. Sukasih mengadakan kawalan keselamatan terhadap emasnya. Kawalan keselamatan sentiasa diperketatkan dari masa ke masa. Dato’ kena buat laporan lengkap terhadap perjalanan kehidupan hariannya hinggakan banyak daripada urusan pejabat juga perlu dilaporkan. Keadaan ini menimbulkan konflik dalam jiwa Kamasutra. Dia tidak suka berpoya-poya, tidak mabuk dan juga tidak bercadang untuk berkahwin lain. Dia berasa sangat tersinggung kerana dicurigai. Si isteri asyik mencari ‘perempuan’ di dalam beg, pakaian dan barang-barang yang digunakan oleh Kamasutra. Kawalan dan pemeriksaan tersebut mengwujudkan sejenis kongkongan dalam jiwa Kamasutra. Dia merasakan seolah-olah dirinya dirantai sama seperti yang dialaminya sewaktu kecil-kecil dahulu. Dia tidak dapat lagi melihat Sukasih yang ‘ibu’ sebaliknya Sukasih yang ‘raja’ dihadapinya setiap hari. Perubahan Sukasih daripada seorang ‘ibu’ kepada seorang ‘raja’ membuat Kamasutra merasakan kehilangan sesuatu. Dia kehilangan ‘Sukasih’ yang pernah menyalakan api cintanya dahulu. Sedikit demi sedikit api kemesraan dalam jiwanya menjadi malap. Sukasih yang pandai menjadikan hatinya berbunga kini menjadi Sukasih yang suka meragut bunga tersebut kerana bimbangkan bunga itu dicuri orang. Kamasutra masih mengalah. Apabila bau harum yang biasa diciumnya di rumahnya sudah tidak ada lagi dia mencari keharuman di luar rumah. Ditemuinya keharuman itu di tempat kerjanya. Kejayaan dalam pekerjaan menyemarakkan keharuman dalam jiwanya. Lalu dia menjadi seorang yang asyik dengan kerjanya. Dia lebih suka menghabiskan masanya dengan pekerjaan daripada menghadapi ‘raja’ Sukasih. Ketika kanak-kanak dahulu dia melarikan diri dengan bersekolah kini dia melarikan diri dengan bekerja. Walaupun dia sudah menyumbangkan tenaga yang banyak dan berjaya memperolehi kecemerlangan dalam pekerjaannya namun, dia masih belum puas. Jiwanya masih terasa kekosongan. Dirasanya dia mencari sesuatu yang dia sendiri tidak tahu apa yang dicarinya. Dia sudah menjadi pembesar negeri dan bergelar Dato’ tetapi itu semua tidak berjaya memberikan kepuasan dan kedamaian kepada jiwanya. Dia terus juga mencari sesuatu yang dia tidak tahu apakah yang dicari.
Sukasih, Datin Sukasih, setelah bertahun-tahun menguatkan kuasa ke atas tanah jajahannya kini berkeyakinan bahawa dia sudah berkuasa penuh. Dia sudah berani menepuk dada sambil mengatakan bahawa suaminya tidak akan berkahwin lain. Keyakinan yang demikian membuatnya berani melonggarkan kawalan ke atas suaminya. Dia sebagai seorang Datin perlu aktif dalam masyarakat. Dia mempunyai bidang sendiri untuk diceburinya. Dia banyak menghabiskan masanya dengan aktivitinya daripada berada bersama-sama dengan suaminya. Dia tidak risau kerana suaminya asyik dengan pekerjaan dan tidak memperdulikan soal perempuan. Apa yang Datin tidak sedar ialah suaminya sudah ‘pergi’ jauh daripadanya. Suami yang ada dengannya hanyalah sebatang tubuh yang tidak sensitif, yang dingin. Datin melihat perubahan yang berlaku kepada suaminya itu dan mengaitkannya dengan bebanan pekerjaan. Suaminya lebih banyak berdiam diri dan tidak suka berjenaka (kerana memikirkan hal pekerjaan agaknya). Bila berada di rumah suaminya lebih suka menonton tv, video atau membaca buku (suaminya mahu berehat setelah penat bekerja, agaknya). Si suami lebih suka mengiyakan sahaja perkataan isterinya daripada memberi pendapat (suami yakin dengan kebolehannya, tentunya). Si suami lebih suka memberikan apa sahaja yang diingini oleh isteri (suami sayang padanya, tentunya). Suami tidak begitu romantik ketika berasmara (suami keletihan setelah bekerja kuat, agaknya). Datin Sukasih yang sudah ‘over-confident’ gagal membaca tanda-tanda yang suaminya sudah ‘keracunan’.
Pada peringkat ini Kamasutra sudah menghidapi penyakit ‘merajuk hati’ dan ‘membawa diri’. Bukan dia lari dari rumah tetapi hati dan jiwanya sudah tidak menetap pada dirinya sehingga dia sering merasai kekosongan dan tidak tahu melahirkan kemesraan kepada isterinya. Dia hanya mendengar percakapan isterinya dan dia tahu bagaimana mahu memberi sambutan kepada percakapan itu. Dia memandang isterinya seperti memandang orang asing yang dia tidak begitu kenal. Apaabila menjawab atau menyampuk percakapan isterinya maka yang terjadi ialah sampukannya itu salah atau sumbang rentaknya.
Kamasutra lebih merasakan kedamaian bila berada jauh daripada isterinya. Dia hanya pulang ke rumah apabila tubuhnya benar-benar penat dan tidak ada apa lagi yang boleh dibuatnya. Dia pulang ke rumah setiap hari kerana itulah yang biasa dilakukannya. Rumah adalah tempat dia tidur sementara menanti hari esok. Ketika dia memejamkan matanya dia sudah berada pada hari esoknya yang menjanjikan harapan kepadanya.
Walaupun Kamasutra mengalami kekosongan dalam jiwanya dia tetap tidak mengisinya dengan perempuan lain. Dia mengharapkan ‘Sukasih’nya akan muncul semula dalam hidupnya. Dia melihat bayangan Sukasih kecintaannya pada diri Datin Sukasih. Inilah yang memberikannya harapan untuk terus mencari dan menanti Sukasih. Walaupun dia diperkenalkan dengan ramai perempuan yang cantik-cantik tetapi hatinya tidak dapat menerima siapa sahaja kecuali ‘Sukasih’.
Dato’ Kamasutra yang kesunyian itu mudah mendapat persahabatan Wan Bakar yang memahami jiwanya. Dia selalu mengajak Wan Bakar keluar bersiar-siar atau makan-makan sambil bersembang-sembang. Kadang-kadang dia ke rumah Wan Bakar untuk berehat sambil berbual-bual. Wan Bakar mempunyai seorang adik perempuan yang masih remaja iaitu kira-kira separuh daripada usia Kamasutra, namanya Sukma Dewi. Kamasutra menyedari yang kehadirannya sering membuat Sukma Dewi kegugupan. Dia menganggap hal demikian berlaku kerana Sukma Dewi gementar bila berhadapan dengan seorang pembesar. Itu adalah perkara yang biasa ditemuinya, maka dia tidak menghiraukan ‘budak’ yang jauh lebih muda daripadanya itu.
Kekerapan Kamasutra ke rumah Wan Bakar sampai kepada pengetahuan Sukasih. Apalagi, Datin yang terkejut besar itu mulalah mengamuk. Dato’ yang tidak mempunyai sebarang skandal itu cuba menenangkannya tetapi si Datin tidak mengendahkannya. Bagi membuktikan kejujurannya, sejak saat itu Kamasutra tidak lagi ke rumah Wan Bakar. Dia berharap Datin tidak lagi curiga terhadapnya.
Perkara yang dianggap oleh Kamasutra sudah selesai itu rupanya tidak selesai bagi Datin. Datin masih lagi beranggapan yang Dato’nya ada hati hendak berkahwin dengan Sukma Dewi. Bila perasaan curiganya sudah tidak tertahan maka Datin pun melepaskan ‘muntahan gunung berapinya’. Datin enggan menerima sebarang penjelasan. Dia dengan tegas mengatakan yang dia tidak mempercayai suaminya. Peristiwa ini menjadi titik pusingan bagi rumah tangga Kamasutra dan Sukasih. Kamasutra telah menyerahkan ‘bekas kaca’ yang diisi dengan kepercayaan untuk dijaga oleh isterinya. Bekas itu amat berharga bagi Kamasutra kerana ia adalah pemberian kasih daripada “Sukasih” yang telah menyalakan lampu cintanya dahulu. Kemunculan Datin dengan bengis seumpama harimau garang telah memecahkan bekas tersebut hingga berkecai dan kerananya padamlah lampu cinta yang dinyalakan oleh ‘Sukasih’. Buat pertama kalinya Kamasutra merasakan dia benar-benar sudah kehilangan ‘Sukasih’ kecintaannya. Datin yang berada di hadapannya bukan lagi ‘Sukasih’nya.
Pada peringkat ini Kamasutra mengalami kekecewaan yang sangat mendalam. Telah bertahun-tahun dia dapat mengawal tekankan yang menghimpit jiwanya. Tetapi kini tekankan itu pula yang mengawal dan menguasainya. Dahulu dia mampu bertahan kerana dia masih ada harapan. Harapan adalah tenaga pertahanan yang terakhir. Bila harapan musnah pertahanan tidak ada lagi. Kamasutra merasakan sejenis kesakitan dalam jiwanya. Dia menanggung kesakitan itu sendirian dan hanya mampu mengeluh sendirian. Usaha Datin untuk menghiburkan hati suaminya sudah tidak berkesan lagi, sudah tidak dapat menembusi benteng yang memisahkan atau yang menutup jiwa suaminya. Pada peringkat ini yang kelihatan kepada Kamasutra hanyalah kesalahan dan kelemahan isterinya. Semua kesalahan Datin yang berkumpul bertahun-tahun lamanya kini datang dengan serentak. Inilah peringkat seorang suami tidak memperdulikan lagi segala pendapat, anggapan atau perasaan isterinya. Dia akan melakukan apa yang dia ingin lakukan tanpa mengambil kira kesan terhadap isterinya atau tindakan daripada isterinya.
Ketika bertindak memadamkan lampu cinta ‘Sukasih’ dalam hati Kamasutra, Datin Sukasih telah membesarkan soal Sukma Dewi. Dia telah ‘menanamkan’ Sukma Dewi dalam jiwa suaminya. Ini membuat Kamasutra menjadi berminat untuk lebih mengenali Sukma Dewi dan mengetahui mengapa Datin Sukasih begitu yakin Sukma Dewi cuba memikat suaminya. Kamasutra pergi menziarahi rumah Sukma Dewi. Ketika dia sedang berbual-bual dengan Wan Bakar gadis yang menjadi isu itu keluar membawa minuman. Dia kelihatan pucat, lemah dan kegugupannya makin ketara. Keganjilan Sukma Dewi itu menarik perhatian Kamasutra. Dia tertangkap satu pandangan singkat Sukma Dewi kepadanya. Hatinya tersentak sejenak kerana dia pernah dipanah oleh pandangan yang demikian satu ketika dahulu datangnya dari seorang gadis yang sebaya dengan Sukma Dewi kini. Pandangan yang demikian itulah yang telah melahirkan sejenis cahaya yang sangat aneh dalam hatinya dan ia sangat indah. Dia pernah menyaksikan cahaya yang aneh dan indah itu. Itulah cahaya yang dilahirkan oleh ‘Sukasih’nya. Tiba-tiba kini dia berhadapan dengan ‘Sukasih’nya dalam wajah Sukma Dewi. Baharulah dia mengerti maksud kegugupan Sukma Dewi. Sukma Dewi bukanlah seorang anak kecil yang takutkan orang besar tetapi dia adalah seorang gadis yang tanpa disedarinya telah jatuh cinta dengan seorang lelaki yang jauh lebih tua daripadanya. Jelas nyata kepada Kamasutra bayangan ‘Sukasih’ menjelma pada diri Sukma Dewi. Sukma Dewi kini adalah ‘Sukasih’nya ketika dia remaja dahulu. Keadaan jiwa yang beginilah membuat lelaki kahwin dengan gadis atas dasar cinta sama cinta, apabila isterinya meninggal dia tidak berminat untuk berkahwin dengan perempuan lain, sehinggalah dia menemui seorang gadis yang sebaya dengan arwah isterinya ketika dia mula bercinta dahulu. Kebanyakan lelaki tua yang berkahwin dengan perempuan muda adalah atas dorongan kesetiaan terhadap cinta pertamanya.
Pada peringkat ini Kamasutra belum bersedia untuk berkahwin lain. Dia hanya baharu menyedari yang Sukma Dewi sudah dewasa bukan dia mahu berkahwin dengan Sukma Dewi dengan serta merta. Bukan mudah bagi seorang lelaki yang sudah berumah tangga dan mempunyai anak-anak mahu menerima perempuan lain sebagai ahli rumah tangganya. ‘Alam Sukma Dewi’ pada peringkat ini menjadi tempat pelarian bagi Kamasutra. Kehadiran Sukma Dewi memberi semangat baharu baginya seperti dia muda-muda dahulu bersama-sama Sukasih. Kemesraan Sukma Dewi mempertemukan Kamasutra dengan ‘Sukasih’nya yang hilang. Pada tahap ini Kamasutra sudah mula mengasihi Sukma Dewi.
Apakah yang sebenarnya berlaku dalam jiwa Kamasutra? Bagaimana Sukasih yang dua puluh tahun dahulu boleh muncul semula dalam rupa orang lain sedangkan Sukasih masih hidup? Sebenarnya apa sahaja yang seseorang rasakan termasuklah Kamasutra berada dalam dirinya sendiri. Dalam meneliti kes Siah kita dapati ketakutan adalah tenaga yang wujud dalam jiwanya sendiri bukan datangnya dari luar. Kejadian atau anasir luar hanyalah menjadi kunci yang menghidupkan ketakutan yang sudah ada dalam dirinya. Abu Zalim pula mempunyai tenaga ganas dan anak saudaranya menjadi kunci melepaskan tenaga ganas tersebut.
Begitu jua Kamasutra. Dalam dirinya sudah ada bakat untuk mengasihi tetapi bakat tersebut tidak bertindak sehinggalah dia menemui Sukasih. Sukasih menjadi kunci yang menghidupkan bakat berkasih sayang dan menyintai yang ada dalam dirinya. Hasilnya jiwa Kamasutra dipenuhi oleh rasa kecintaan. Sukasih hanyalah satu nama sedangkan kunci sebenar yang membuka pintu kasih dalam hati Kamasutra ialah seorang gadis belasan tahun yang memiliki watak atau keperibadian yang tertentu. Sifat-sifat gadis tersebut, bukan nama, yang melahirkan cahaya cinta dalam jiwa Kamasutra. Nama hanyalah pengenalan kepada bekas yang mengandungi sifat-sifat tersebut.
Tidak dapat dimengerti mengapa gadis yang seorang itu secara tidak sengaja telah membuka pintu kasih itu dan tidak gadis-gadis lain. Mungkin itu maksud jodoh pertemuan di tangan Tuhan. Tiada siapa boleh menceritakan mengapa Tuhan memilih gadis tersebut untuk membuka pintu kasih pada hati lelaki berkenaan dan pada masa yang sama lelaki yang sama dipilih untuk membuka pintu kasih pada hati gadis tersebut. Sekali pintu kasih terbuka keluarlah dari dalamnya bersama-sama perasaan kasih ialah rasa bertanggungjawab, bertimbang rasa, hormat, kesetiaan, kesediaan untuk berkorban dan sebagainya.
Oleh itu kasih merupakan satu tenaga besar yang berkumpul di dalamnya berbagai-bagai tenaga. Tenaga kasih memainkan peranan yang penting dalam kehidupan manusia. Tenaga ini menyatukan seorang perempuan dengan lelaki. Tenaga ini memelihara janin dalam kandungan. Tenaga ini yang menyambut bayi yang meluncur keluar dari perut ibu ke alam dunia. Tenaga ini yang melindungi bayi yang masih kecil. Tenaga ini mengwujudkan ikatan keluarga. Tenaga ini mengikat satu bangsa. Oleh sebab tenaga yang sebenar ada di dalam diri seseorang, hanya kunci yang ada di luar, maka kunci boleh berubah tetapi tenaga tidak berubah. Kunci juga boleh bertambah. Seorang bapa yang sangat kuat kasih sayangnya ketika menerima kedatangan anak pertama dapat mengalami perasaan yang serupa tatkala menerima kedatangan anak-anaknya yang kemudian, tanpa menjejaskan kasih sayangterhadap anaknya yang terdahulu. Seorang manusia boleh menambah bilangan makhluk yang dikasihinya tanpa mengurangkan kasih sayangnya terhadap makhluk yang sedang dikasihinya. Beginilah keunikan dan kehebatan hati manusia.
Walaupun Kamasutra sudah memahami perasaannya terhadap Sukma Dewi itu tidak bermakna dia serta merta mengahwini Sukma Dewi. Dia perlu benar-benar yakin dengan cinta dan kejujuran Sukma Dewi terhadapnya dan juga kesetiaan serta kesanggupan Sukma Dewi untuk menghadapi segala pancaroba yang akan ditemui nanti. Asas perkahwinan pertama dengan asas perkahwinan kedua berbeza. Perkahwinan pertama banyak diasaskan kepada cinta kasih semata-mata. Perkahwinan kedua pula selain cinta kasih kekuatan menanggung cabaran juga diperlukan. Menjadi isteri kedua bererti memasuki jalan yang banyak onak dan duri. Setelah mendapat keyakinan baharulah Kamasutra bersedia mengambil Sukma Dewi sebagai isteri keduanya. Namun perkahwinan tidak berlaku dengan segera. Kesanggupan menerima Sukma Dewi memasuki kehidupannya secara peribadi telah diperolehinya dengan sukar tetapi lebih sukar lagi ialah membawa Sukma Dewi ke dalam kehidupan keluarga dan masyarakatnya. Paling sukar dihadapi ialah isteri yang pertama. Apabila sampai kepada peringkat ini ada lelaki yang sanggup menggunakan Emosi daripada menggunakan akal fikirannya. Lelaki jenis ini mengambil jalan mudah iaitu menceraikan isteri pertamanya semata-mata kerana dia mahu berkahwin dengan perempuan lain. Lelaki jenis kedua pula mengambil jalan berkahwin secara senyap-senyap dan menjaga rahsia itu sampai ke mati (kalau boleh). Lelaki jenis ketiga pula berkahwin dahulu kemudian baharulah memberitahu isteri pertamanya. Lelaki jenis keempat memaklumkan kepada isteri pertama terlebih dahulu sebelum berkahwin lain.
Kita telah ikuti perkembangan jiwa Kamasutra Hinggalah ke peringkat dia sanggup untuk berkahwin lagi. Dalam kes Kamasutra, keracunan pada jiwanya yang mengheretnya untuk berkahwin lagi. Penyakit yang dihidapinya bersabit dengan jiwa dan seperti kebanyakan orang dia juga tidak menyedari tentang penyakitnya. Si isteri juga tidak menyedari yang suaminya sudah parah keracunan. Kegagalan suami isteri mengesan racun tersebut menyebabkan ia merebak dengan bebas dalam rumah tangga. Rumah tangga menjadi ‘panas’. Pada peringkat ini apa sahaja yang isteri buat menjadi bahan yang menyakitkan hati suami. Masakan isteri tidak sedap. Teguran isteri memedihkan telinga. Senda gurau isteri membosankan. Apa sahaja tentang isteri dan yang dari isteri adalah negatif. Inilah peringkat suami isteri bercerai. Tenaga perceraian ini mengambil masa yang lama sebelum ia dapat menguasai mangsanya. Oleh sebab proses perkembangan tenaga ini tidak pernah dikesan dan disekat maka ia mempunyai masa yang banyak untuk menawan mangsanya.
Lelaki yang menceraikan isterinya memberi alasan bahawa isterinya membakar hidupnya. Rumah bagaikan neraka. Benarkan demikian? Bagi memastikan keadaan ini kita ikuti lagi perjalanan hidup Kamasutra yang telah sampai kepada peringkat segala-galanya (baginya) mengenai isterinya adalah negatif. Kamasutra akhirnya berkahwin dengan Sukma Dewi, secara senyap-senyap tanpa pengetahuan isteri tua. Tetapi berita itu sampai juga ke pengetahuan Datin yang banyak ‘contact’. Kamasutra tidak pulang ke rumah selama satu minggu. Selepas satu minggu dia pulang ke rumah Datin Sukasih. Seminggu yang lalu Kamasutra pulang dengan rupa yang muram, lesu dan marah-marah. Kini Dato’ Kamasutra pulang dengan rupa yang manis dan cergas. Datin memakinya, Dato’ hanya tersenyum. Datin menarik rambutnya, Dato’ ketawa terkekeh-kekeh. Sambil ketawa itu dato’ menyuruh Datinnya memasakkan makanan yang enak-enak yang biasa dimakannya. Ke manakah perginya ‘masakan isteri tidak sedap, teguran isteri memedihkan telinga, senda gurau isteri membosankan dan apa sahaja yang mengenai isteri dan yang dari isteri menyakitkan hati’ yang menguasai dato’ seminggu yang lepas? Sekarang apa sahaja yang isteri pertama (yang satu minggu dahulu memanaskan) lakukan menyeronokkan suami seperti seorang bapa yang sentiasa terhibur melihat telatah anak kecilnya walaupun si anak itu memijak kepalanya.
Racun yang di dalam jiwa Kamasutra sudah tawar, ditawarkan oleh madu. Istilah madu amat tepat digunakan kerana ia boleh menjadi penawar yang mujarab jika semua pihak dapat melihat kemujarabannnya. Bermadu menjadi penawar yang mujarab bagi rumah tangga yang keracunan pada tahap yang parah. Ia telah banyak menyelamatkan rumah tangga daripada runtuh. Sebab itulah agama mengizinkan lelaki berkahwin lebih dari satu kerana yang meletakkan hukum mengetahui diri manusia yang diciptakan-Nya. Tetapi hukum Yang Empunya hukum ini sering disanggah oleh perempuan degil dan lelaki dayus. Akibatnya berlakulah perceraian yang walaupun tidak diharamkan tetapi sangat dibenci.
Kebenaran hukum ini telah terbukti bagi Dato' Kamasutra. Dia pernah menyangkakan kasih sayangnya terhadap Sukasih telah mati tetapi apabila dia disuntik dengan penawar madu kewarasan kembali kepadanya. Dia dapat melihat kembali kemuliaan dan kelebihan isteri pertamanya yang telah lebih dua puluh tahun mengharungi lautan kehidupan yang bergelombang bersama-samanya. Kelebihan dan kemuliaan isteri pertama inilah yang menyebabkan lelaki tidak terdaya atau menggunakan dengan sewenang-wenangnya hak mentalak dan berpoligami yang ada padanya.
Isteri pertama adalah Sukasih yang telah menjadi suis yang menyalakan lampu kasih dan selama-lamanya ‘Sukasih’ yang menjaga suis tersebut. Apabila cahaya lampu itu menjadi malap maka bersinar pula Sukma Dewi, bintang malam di ufuk langit yang menunjukkan arah kepada musafir di padang pasir yang meredah kegelapan malam bersuluhkan obor di tangan. Sukasih adalah obor yang menerangi perjalanan dan Sukma Dewi adalah bintang yang memandu arah perjalanan. Orang yang membuang obor di tangan kerana bintang malam sudah bersinar akan dapat terus berjalan menuju matlamatnya tetapi tidak ada cahaya yang menerangi jalanan yang dilaluinya. Akibatnya dia terpijak ranjau dan duri, tersepak batu dan tunggul kayu dan tidak dapat melihat haiwan ganas yang berkeliaran bersama kegelapan malam. Orang yang telah masuk kepada pengembaraan di padang pasir, enggan berpandu kepada bintang malam, sebaliknya hanya menumpang cahaya obor di tangan, dia akan sesat di tengah-tengah padang pasir, tidak tahu jalan keluar. Akhirnya dia akan keletihan, rebah tersungkur bersama-sama obornya.
Dato’ Kamasutra adalah contoh lelaki yang panjang fikirannya. Ada juga lelaki yang singkat fikirannya. Badal merupakan seorang lelaki yang singkat fikiran. Badal mengalami keracunan rumah tangga juga. Dia mengambil jalan mudah. Jika isteri tidak boleh memberikan kebahagiaan buat apa disimpan. Badal mentalakkan isterinya. Terlepaslah Badal daripada penyakit yang menekan jiwanya. Bila si pembawa penyakit (janda) tidak bersama-samanya maka penyakit yang menekan jiwanya juga tidak ada. Bila jiwanya tidak lagi tertekan datanglah fikirannya yang waras. Dalam kewarasan itu dia terkenangkan kemesraan, kebaikan, kelebihan dan kemuliaan jandanya. Timbul perasaan menyesal dalam jiwanya. Lalu dia rujuk semula kepada bekas isterinya. Pasangan itu kembali bercantum dengan keadaan tidak menyedari penyakit keracunan yang memusnahkan rumah tangga mereka dahulu. Tidak berapa lama kemudian racun itu kembali mengeluarkan bisanya. Mereka bercerai lagi. Kemudian datang pula perasaan menyesal lalu mereka rujuk semula. Setelah tiga kali bercerai agama tidak mengizinkan mereka bercantum semula kecuali si janda itu berkahwin lain dan suaminya menceraikannya. Lelaki yang menceraikan isterinya sampai tiga kali dianggap oleh agama sebagai lelaki berpenyakit pada tahap tinggi. Dia perlu diberi kejutan untuk mengubati penyakitnya. Bila jandanya berkahwin lain dan boleh hidup bahagia dengan suami baharunya si lelaki itu akan berfikir panjang tentang dirinya dan mengambil tindakan memperbaikinya.
Kita agak tertarik untuk ingin tahu apa yang akan terjadi sekiranya Kamasutra tidak dapat berkahwin dengan Sukma Dewi, fenomena ini banyak berlaku dalam masyarakat. Datin Sukasih berjaya menghalang perkahwinan suaminya dengan Sukma Dewi. Kamasutra tatkala itu merupakan seorang yang sangat tenat sakitnya. Dia telah menemui penawar dan penawar sudah berada dalam tangannya dan hanya menanti masa untuk meminumnya. Tiba-tiba datang tangan menyambar botol penawar itu dan menghempaskannya ke lantai hingga hancur berkecai. Keadaan ini boleh menyebabkan berlaku dua kemungkinan. Kemungkinan yang pertama ialah Kamasutra akan menjadi seperti seorang yang jatuh ke dalam laut yang airnya sangat sejuk. Kesejukan air laut menyebabkan sekalian anggota menjadi kaku. Pancaindera masih sempurna tetapi dia tidak dapat berenang. Keadaan kaku yang menimpa Kamasutra dipanggil ‘hilang semangat’. Tenaga hilang semangat ini akan menyebabkan mangsanya tidak mampu bertenang di dalam lautan kehidupan. Dia adalah umpama seorang pesakit lumpuh. Semangatnya sudah lumpuh untuk menjalani kehidupan. Kemungkinan yang kedua pula ialah Kamasutra akan dengan serta merta menceraikan isterinya.
Jika kemungkinan yang pertama berlaku, keadaan si suami yang tidak seperti manusia normal itu mudah ketara kepada si isteri. Si isteri akan menyalahkan Sukma Dewi. Baginya Sukma Dewilah yang menyebabkan suaminya menjadi demikian. Datin gagal melihat perjalanan tenaga perosak yang sedikit demi sedikit menawan suaminya sehinggalah suaminya ‘lumpuh’. Dia hanya dapat melihat penyakit hanya apabila suaminya sudah lumpuh. Dia mengaitkan penyakit tersebut dengan Sukma Dewi semata-mata sedangkan dia sendiri sedikitpun tidak bersalah. Dalam keadaan begini Datin akan sering menjadikan isu Sukma Dewi sebagai alasan perbalahan. Datin tidak sedar bahawa di dalam kandang hilang semangat yang ada pada diri suaminya itu berkumpul berbagai-bagai bakat, tenaga atau sifat-sifat binatang ganas. Perbuatan Datin itu seumpama seorang yang bermain-main di tepi kandang binatang buas. Binatang-binatang tersebut terus disakitinya. Akan sampai satu peringkat di mana Kamasutra akan dikuasai sepenuhnya oleh tenaga-tenaga yang terbentuk dalam jiwanya. Kamasutra melihat isterinya seperti harimau melihat kucing. Inilah tahap Kamasutra dikuasai oleh tenaga perceraian. Dia seolah-olah mendengar bisikan di telinganya supaya dia bercerai. Talak sudah berada di pangkal lidahnya. Pada peringkat ini perbalahan sangatlah merbahaya lebih-lebih lagi jika isteri terus mengungkit dan mencabar. Cabaran akan memudahkan talak yang di pangkal lidah itu meluncur keluar.
Kita telah ikuti jejak tenaga-tenaga perosak yang akhirnya dapat bergabung untuk membentuk satu tenaga yang kuat dan mampu mendesak seorang lelaki menceraikan isterinya. Dalam kes kajian yang kita lakukan kita dapati lelaki yang berfikiran panjang dan waras sangatlah sukar untuknya menceraikan isterinya. Salah satu factor penting yang menghalang lelaki bertindak terburu-buru ialah anak-anak. Anak menjadi tenaga yang menggerunkan tenaga perceraian. Tetapi jika penyakit dibiarkan tanpa berubat akan sampai juga peringkatnya di mana tenaga perceraian menjadi cukup kuat untuk meruntuhkan benteng pertahanan terakhir yang dibina oleh anak-anak. Oleh sebab tenaga perosak itu berkembang dalam senyap kebanyakan orang tidak menyedarinya. Si isteri tidak menyedarinya. Dia adalah seumpama seorang general tentera yang tidak menyedari bahawa semua askarnya sudah tewas. Dia masih juga merempuh tentera musuh yang sudah mengepungnya.
Setelah melihat jejak tenaga perosak kita perlu pula mencari jalan untuk mencegah atau mengubati penyakit yang disebabkannya. Kita perlu terjun ke dalam lautan sejarah kehidupan kita untuk memahami diri kita sendiri. Keperibadian dan citarasa masing-masing telah terbentuk sebelum memasuki alam perkahwinan. Perkahwinan menjadi medan pertempuran tenaga-tenaga yang telah terbentuk dalam diri lelaki dan perempuan. Yang berkenaan. Tiap orang harus sedar bahawa dalam dirinya berkumpul bermacam-macam bakat dan tenaga negatif yang sentiasa mencari peluang untuk menguasai dirinya. Manusia harus menguasai dirinya sendiri, jangan biarkan dirinya dikuasai. Dia harus mengenali sifatnya yang asli dan juga sifat yang mendatang akibat pengalaman hidupnya. Sifat yang asli adalah baik dan sesuai dengan akhlak kemanusiaan. Sifat yang mendatang pula bercampur di antara yang baik dengan yang tidak baik. Pengasingan perlu dibuat agar sifat yang tidak baik dapat dikeluarkan.
Secara kasarnya boleh dikatakan bagi seorang perempuan, suami adalah pelindung seumpama pokok rendang tempat berteduh. Bagi lelaki pula isteri adalah maruah dirinya yang harus dipelihara sebaik mungkin. Perempuan mudah berasa takut dan bimbang bila melihat ribut menggoyangkan pokok tempat dia berlindung. Lelaki cepat berasa tersinggung jika maruahnya diusik. Sifat yang semulajadi begini jika berada dalam kawalan ia dianggap sebagai normal. Jika ia lebih daripada hadnya dan kawalan ke atasnya terlepas maka ia dianggap sebagai penyakit. Di antara penyakit itu ialah cemburu. Cemburu biasanya menawan lelaki pada masa percintaan dan ia menjadi reda setelah berkahwin. Hal yang sebaliknya berlaku kepada perempuan. Penyakit cemburu kurang ketara pada perempuan semasa bercinta tetapi ketara setelah berkahwin. Fenomena ini terjadi kerana semasa percintaan lelaki bimbang kekasihnya direbut oleh jejaka lain. Ini membuatnya mudah cemburu. Bila sudah kahwin persaingan untuk memiliki gadis yang dicintainya itu tidak ada lagi. Keadaan ini menenangkan jiwanya. Bagi perempuan pula percintaan adalah zaman di mana dia diburu, dihargai, disanjung dan dibelai. Layanan yang diterimanya membuatnya berasa selamat. Perkahwinan adalah alam yang berbeza. Bila sudah menjadi isteri seorang lelaki tidak ada lagi peluang lain baginya. Suami itu adalah pokok rendangnya. Keadaan ini mengwujudkan kebimbangan dalam jiwanya. Jadi, sebelum berkahwin biasanya ‘memberkas’ kekasihnya dan setelah berkahwin melonggarkannya terhadap isterinya. Perempuan pula biasanya melonggarkan ikatan sebelum berkahwin tetapi mengetatkannya setelah berkahwin. Masalah akan timbul jika setelah berkahwin suami melepaskan terus ikatannya sehingga isteri menjadi ‘terlalu berani’. Masalah juga akan timbul jika setelah berkahwin isteri terlalu mengetatkan ikatannya sehingga suami berasa ‘sesak nafas’. Kedamaian rumah tangga akan wujud jika kesederhanaan diamalkan.
Kedamaian dan ketenteraman adalah perasaan yang wujud dalam jiwa. Jiwa boleh diisi dengan berbagai-bagai perasaan. Jika kuat perasaan negatif akan lemahlah perasaan positif. Begitu juga sebaliknya. Perasan negatif akan muncul dalam jiwa dari masa ke masa. Setiap pasangan harus menerima hakikat ini. Manusia mempunyai jiwa atau hati. Istilah yang biasa digunakan ialah ‘kalbu’ yang bererti yang berbolak-balik, tidak menetap. Oleh sebab manusia memiliki kalbu maka manusia akan mengalami keadaan jiwa yang berbolak-balik dan tidak menetap. Perasan negatif dan positif boleh muncul silih berganti. Seseorang itu haruslah bijak menangani keadaan yang berbolak-balik ini. Jika perasaan negatif muncul dalam jiwa suami maka si isteri haruslah membantu suami mengeluarkan perasaan tersebut walaupun perasaan negatif itu mengenai diri si isteri itu sendiri.
Ramai wanita yang menganggap teguran dari suami sebagai satu tamparan yang hebat, menjatuhkan maruahnya dan mungkin timbul anggapannya yang suaminya sudah tidak menyayanginya lagi. Wanita menggunakan berbagai-bagai cara bagi menghalang ‘tamparan’ itu daripada sampai kepadanya. Tindakan yang demikian memanjangkan tempoh perasaan negatif menguasai jiwa suaminya. Cara ini menyebabkan perasaan positif suaminya menjadi lemah. Dua orang manusia dihubungkan oleh perasaan. Jika perasaan dihalang daripada sampai kepada pasangan berkenaan maka hubungan akan menjadi hambar dan tawar. Kehambaran itu ketara ketika berasmara. Pihak yang terasa hambar tidak ghairah. Oleh sebab itu pentinglah bagi suami isteri membantu pasangan masing-masing supaya hubungan perasaan itu berjalan dengan baik. Lebih baik membiarkan perasaan negatif seumpama marah keluar sedikit-sedikit. Jika dibiarkan berkumpul dalam jiwa ia akan menjadi tenaga yang kuat yang akan keluar melakukan kerosakan pada masa akan datang.
Dari kes kajian yang telah dibuat didapati kebanyakan kasih sayang yang wujud dalam rumah tangga sebenarnya tidak mati sekalipun rumah tangga itu bergoyang. Apa yang terjadi ialah tenaga kasih sayang ditekan oleh tenaga-tenaga negatif sehingga tenaga kasih sayang itu tidak dapat berdiri tegak hingga disangkakan ia sudah mati. Tenaga negatif yang membelenggu tenaga kasih sayang itu mungkin lahir daripada perasaan takut yang amat sangat, kecurigaan yang kuat dan sebagainya. Dalam diri manusia sentiasa berlaku perjuangan antara tenaga positif dengan tenaga negatif. Apabila kuat tenaga negatif maka tenaga positif terpendap yang kadang-kadang disangkakan mati. Ia tidak mati, ia hanya pengsan. Orang yang menyangkakan tenaga positif itu sudah mati mengambil keputusan menceraikan isterinya. Apabila berpisah tenaga negatif tidak mendapat bekalannya lalu ia menjadi lemah. Pada masa itu tenaga positif menjadi sedar daripada pengsannya. Bila orang berkenaan dikuasai semula oleh tenaga positif dia dapat melihat dan menilai apa yang telah hilang daripadanya. Bukan sedikit orang yang menyesal kerana tidak memberikan apa yang patut diberikannya kepada pasangannya dan untuk kembali berbuat demikian sudah terlambat kerana pasangannya sudah tiada lagi dengannya.
Kaum lelaki yang menjadi khalifah dipertanggungjawabkan untuk memegang hak mentalak. Jangan menggunakan hak tersebut dengan sewenang-wenangnya. Kesan yang timbul daripada tindakan yang tidak bertanggungjawab sangat besar terhadap diri sendiri, pasangannya dan anak-anaknya. Kaum wanita pula yang menjadi pakaian suami jadilah pakaian yang berpadanan dengan suami, jangan terlalu longgar dan jangan pula terlalu ketat. Kesabaran dan bertolak ansur amat penting dalam menjaga keharmonian rumah tangga.

No comments:
Post a Comment