5: PENYAKIT GANAS DAN KEJAM
Manusia secara umumnya memang mempunyai keupayaan untuk bertindak ganas dan kejam. Emosi negatif ini boleh muncul dalam bentuk perkataan dan perbuatan. Dalam diri manusia memang ada ‘kilang’ yang menghasilkan keganasan. Perkataan memaki hamun dan mencarut dikeluarkan oleh kilang ini. Perbuatan memukul dan merosak juga merupakan hasil kilang yang sama. Keganasan ini tidak semestinya ditujukan kepada sesama manusia, malah ditujukan juga kepada binatang dan benda. Perbuatan memukul binatang dan mengoyakkan pakaian boleh diistilahkan sebagai ganas. Ada juga perbuatan yang zahirnya kelihatan ganas tetapi merupakan perbuatan yang terpuji. Seorang yang bertindak ganas kerana mempertahankan harta dan maruahnya adalah melakukan perbuatan yang terpuji. Orang yang bertindak ganas kerana mencerobohi hak orang lain adalah berbuat keganasan yang dikeji. Perbezaan antara dua bentuk perbuatan itu adalah yang terpuji itu disertai oleh perasaan peri-kemanusiaan sementara yang dikeji itu dilakukan tanpa perasaan peri-kemanusiaan. Keganasan yang tidak berperi-kemanusiaan inilah yang menjadi bahan penelitian kita. Mengapa manusia boleh melakukan keganasan di luar batas peri-kemanusiaan.
Dalam kajian terhadap keganasan dan Kekejaman yang paling penting diperhatikan ialah “KEMANUSIAAN”. Ketika melakukan keganasan dan Kekejaman seseorang manusia itu tidak mempunyai perasaan peri-kemanusiaan, bermakna pada ketika itu dia bukan seorang manusia. Lebih tepat jika dikatakan ketika melakukan keganasan, orang yang berkenaan bukanlah manusia tetapi binatang. Tidak ada bezanya binatang ini daripada seekor harimau, cuma rupa sahaja yang berbeza. Ketika melakukan keganasan seorang manusia itu berubah menjadi ‘harimau jadian’. Banyak harimau jadian wujud dalam masyarakat.
Harimau jadian ada dua jenis. Jenis pertama hanya menjelma di hadapan orang tertentu sahaja sementara jenis kedua tidak mengira orang atau tempat. Harimau jadian jenis pertama melakukan keganasan terhadap mangsa yang sama, misalnya kanak-kanak dalam jagaannya atau isterinya.
Jenis kedua tidak mengira mangsa. Jenis kedua ini boleh dibahagikan kepada golongan tidak profesional dan golongan profesional. Golongan yang tidak profesional ialah mereka yang berubah menjadi ganas dalam suasana tertentu sahaja seperti merusuh ketika pertandingan bole sepak. Golongan profesional ialah penyamun, perompak, pembunuh upahan, perogol dan yang seumpamanya. Secara kasarnya golongan ganas, kejam dan tidak berperasaan peri-kemanusiaan boleh dibahagikan kepada: 1: Orang yang bertindak ganas terhadap mangsa yang sama 2: Orang yang bertindak ganas terhadap mangsa yang berlainan, dan boleh pula dibahagikan kepada dua golongan: a) Orang yang bertindak ganas dengan persediaan dan perancangan. b) Orang yang bertindak ganas tanpa perancangan.
Kes kajian
Cuba kita buat kajian tentang orang yang bertindak ganas terhadap mangsa yang sama. Abu Zalim adalah seorang yang berperwatakan lemah-lembut. Dia mempunyai pekerjaan yang baik di sebuah jabatan kerajaan. Perwatakan yang baik itu membuatnya disenangi oleh kawan-kawannya. Sesiapa sahaja yang mengenali Abu Zalim akan berkata bahawa dia seorang yang baik.
Abu Zalim sudah beristeri dan mempunyai tiga orang anak. Selain tiga orang anak-anaknya, dia juga memelihara seorang anak saudaranya yang berumur empat tahun. Ibu bapa kanak-kanak itu sudah bercerai. Bapanya menghilangkan diri entah ke mana. Emaknya, kakak Abu Zalim, khabarnya berada di Kuala Lumpur dan dikatakan terjebak di lembah maksiat. Si kakak itu meninggalkan anaknya kepada Abu Zalim tanpa bertanya samada adiknya itu sanggup atau tidak memelihara anaknya. Semenjak Abu Zalim memelihara anaknya si kakak itu tidak pernah menghantarkan Perbelanjaan untuk anaknya. Si anak kecil itu pula sentiasa berselera, memakan apa sahaja yang ada di bawah saji. Sudahlah begitu, nakal pula. Beberapa biji pinggan telah pecah kerananya.
Abu Zalim mempunyai satu tabiat buruk iaitu meminum arak. Ketika dia mabuk dia akan bertindak mengganasi anak saudaranya. Di antara keganasan yang dilakukan oleh Abu Zalim terhadap anak saudaranya ialah: 1) Menampar, menumbuk, menendang dan menerajang. 2) Melibas dengan tali pinggan. 3) Mencucuk potong rokok yang masih menyala ke badan. 4) Meletak seterika panas pada tubuh. 5) Menyiram tubuhnya dengan air panas. 6) Lain-lain
Bagaimana perkara ini boleh terjadi. Seorang yang lemah-lembut dan baik hati dengan semua orang berubah menjadi harimau jadian dengan anak saudaranya sendiri yang baharu berumur empat tahun. Abu Zalim adalah seorang insan dengan semua orang tetapi bertukar menjadi haiwan apabila berhadapan dengan satu orang. Mengapa? Adakah kerana anak saudaranya itu kuat makan, nakal dan memecahkan pinggan mangkuk? Jika itulah sebabnya mengapa dia tidak menyiram air panas kepada anak saudaranya itu ketika budak itu sedang makan atau berbuat nakal atau memecahkan pinggan mangkuk? Mengapa dia bertindak ganas ketika dia sedang mabuk? Mungkin kemabukan itu membuatnya menjadi ganas. Mengapa pula dia bertindak ganas terhadap anak saudaranya seorang sahaja sedangkan ketika dia mabuk itu anak-anaknya sendiri ada di situ. Boleh jadi juga kerana emak budak itu tidak menghantarkan wang belanja. Sekiranya itu puncaknya mengapa dia tidak membiarkan budak itu mati kebuluran? Mungkin dia tidak sampai hati untuk membiarkan anak saudaranya itu mati kebuluran. Mengapa pula dia boleh sampai hati menyiramnya dengan air panas dan menyeterikakan badannya?
Perbuatan ganas bukanlah satu perbuatan yang mudah dilakukan, lebih-lebih lagi terhadap kanak-kanak yang berumur empat tahun, yang belum mengerti erti betul dan salah. Jika kita membawa seorang kanak-kanak yang berumur empat tahun dan kita tawarkan sesiapa yang sanggup menyeterikakan kanak-kanak itu akan mendapat upah, kita akan dapati tidak ada orang yang sanggup melakukannya. Kita tawarkan juga kepada Abu Zalim yang pernah menyeterikakan perut anak saudaranya. Bukan sahaja Abu Zalim tidak menerima tawaran tersebut malah kita dimarahinya. Tidak ada manusia, termasuklah Abu Zalim, yang sanggup berlaku kejam kepada kanak-kanak yang tidak berdosa sekalipun diberi upah untuk berbuat demikian. Tetapi mengapa pula Abu Zalim tergamak berlaku kejam kepada anak saudaranya tanpa diupah?
Dalam pencarian jawapan terhadap soalan ini, bawalah kanak-kanak tadi ke kandang harimau dan campakkannya kepada harimau lapar itu. Si harimau akan bertindak ganas dan kejam terhadap kanak-kanak itu tanpa perlu diupah. Jadi, hanya binatang buas boleh bertindak ganas. Ketika Abu Zalim mendera anak saudaranya, dia benar-benar bertukar menjadi binatang buas, bukan seumpama binatang buas. Sifat kemanusiaan tertanggal daripada Abu Zalim dan sifat binatang buas menguasainya. Pada ketika itu Abu Zalim dan harimau mempunyai sifat yang serupa. Sifat binatang buas hanya boleh menguasai Abu Zalim dengan kehadiran anak saudaranya. Sekiranya anak saudaranya tidak tinggal dengannya sifat ganas itu tidak mungkin muncul pada diri Abu Zalim sehingga ke akhir hayatnya.
Dalam memahami kes Abu Zalim, mula-mula kita hendaklah menutup sifat si mangsa supaya kita tidak memandangnya sebagai anak kecil yang tidak berdosa. Kita andaikan yang mangsa Abu Zalim itu adalah seorang dewasa. Bila melihat tindakan Abu Zalim terhadap orang ini kita dapat membayangkan bahawa tentu pada satu masa dahulu dia telah berbuat kejam dan Zalim kepada Abu Zalim. Tentunya perbuatannya sangat menyeksa Abu Zalim, membuatnya kehilangan sesuatu yang sangat berharga sehingga melahirkan rasa marah, benci, dendam dan keinginan untuk menuntut bela yang sangat kuat dalam diri Abu Zalim. Perasaan marah, benci dan dendam apabila berkumpul akan menghasilkan keupayaan tenaga ganas yang kuat, mencari-cari peluang untuk membalas dendam. Tenaga ganas ini wujud dalam diri seseorang sebagai seekor binatang buas yang bersedia dan menacari peluang untuk menerkam mangsanya.
Sekiranya mangsa Abu Zalim itu seorang dewasa mudah diandaikan punca perbuatan ganasnya. Tetapi apabila kita mengenangkan bahawa mangsanya itu adalah kanak-kanak yang tidak pernah berbuat aniaya kepada Abu Zalim maka kita berasa ada keganjilan di situ. Mengapa Abu Zalim membalas dendam ke atasnya? Fakta yang diketahui tentang kanak-kanak itu ialah dia adalah anak kepada kakak Abu Zalim. Fakta ini memberi bayangan tentang sesuatu rahsia antara Abu Zalim dengan kakaknya. Bila diselami lautan sejarah Abu Zalim kita temui keadaan yang mengharukan. Ketika si kakak berumur 17 tahun dan Abu Zalim berumur 14 tahun, si kakak telah melakukan kesalahan yang besar yang mengakibatkan 10 tahun kemudian anaknya didera dengan hebat sekali. Si kakak itu telah mencari wang bapa mereka sebanyak tiga ratus ringgit untuk membayar hutangnya. Si bapa ini seorang yang bengis, garang dan cepat meradang (penyakitnya tidak pernah dikesan, apalagi diubati). Si bapa membawa Abu Zalim dan kakaknya ke muka pengadilan. Melihat rupa bapa mereka yang kemerahan dengan mata yang bersinar-sinar, si kakak menjadi takut, gerun dan panik. Dalam ketakutan itu si kakak hanya memikirkan cara untuk menyelamatkan dirinya sahaja. Dia mengakui bahawa dia sendiri melihat adiknya, Abu Zalim, mencari wang bapa mereka. Si bapa mempercayai keterangan ‘saksi’ ini dan memutuskan segala keterangan Abu Zalim tidak relevan. Abu Zalim tidak mengakui salah, bapa mereka tidak mempercayainya. Bapa yang menjadi hakim itu menjatuhkan hukuman ke atas Abu Zalim. Abu Zalim diikat pada tiang rumah. Abu Zalim ditampar. Dia tidak mengakui salah dan tidak mengembalikan wang bapanya. Abu Zalim dibelasah dengan tali pinggan. Abu Zalim masih juga tidak mengakui salah dan tidak mengembalikan wang bapanya. Abu Zalim disiram dengan air panas. Dia tetap tidak mengaku salah dan tidak mengembalikan wang bapanya. Seterika panas diletak di punggung Abu Zalim. Dia masih juga tidak mengaku salah dan tidak mengembalikan wang bapanya. Abu Zalim tidak ingat lagi apa yang berlaku. Bila dia sedar dia sudah berada di wad hospital dan diberitahu dia telah pengsan selama tiga hari. Seluruh tubuhnya terasa sakit. Dia tidak dapat berbaring atau meniarap dengan selesa. Dia menjadi sangat takut melihat darah keluar dari kemaluannya. Dia takut dan mengagak dia sudah mengalami kecacatan dari segi kelakiannya. Itulah harta yang paling berharga baginya.
Satu bulan Abu Zalim dirawat di hospital. Dia menanggung penderitaan yang amat sangat, iaitu penderitaan zahir dan batin. Ketika menahan penderitaan itulah dia mula bersahabat dengan ‘binatang buas’ yang berkelakuan sangat jinak dengan Abu Zalim. Binatang buas itulah yang telah berjaya memberinya semangat supaya menahan segala kesakitan dan penderitaan kerana suatu hari nanti dia pasti akan dapat menuntut bela. Abu Zalim memelihara binatang buas yang jinak itu dan mengurungnya di dalam kandang dirinya. Tiap-tiap hari binatang buas itu diberi makan dengan diperingatkan supaya bersedia untuk menuntut bela. Ia hidup segar dalam diri Abu Zalim.
Setelah sebulan di hospital Abu Zalim dibenarkan pulang ke rumahnya. Binatang buas dalam diri Abu Zalim mencuba keluar untuk membalas dendam terhadap kakaknya, tetapi kehadiran bapanya dapat mengawal pintu kandangnya daripada terbuka. Ketidakupayaan membalas dendam menyebabkan binatang buas dalam diri Abu Zalim semakin lapar dan semakin bengis. Keadaan ini disebabkan dia tidak berpeluang melepaskan geramnya.
Semasa di hospital semua kakitangan hospital memberi layanan yang baik kepada Abu Zalim. Bila pulang ke rumah jiran-jiran memberi simpati kepadanya. Ketika di sekolah kawan-kawan menunjukkan sifat bertimbang-rasa dan mereka banyak membantunya. Semua orang berbaik-baik dengan Abu Zalim kecuali kakaknya. Dan, Abu Zalim berbaik-baik dan bersopan santun dengan semua orang kecuali satu orang, iaitu kakaknya.
Abu Zalim tidak melepaskan dirinya daripada kembimbangan tentang sifat kelakiannya yang mungkin cacat. Dia tidak tahu dengan pasti tetapi dia sangat bimbang. Pergolakan dalam jiwanya mengheretnya ke dalam alam arak. Kemasukan air arak menambahkan kebengisan binatang buas dalam peliharaannya.
Setelah tamat persekolahan menengahnya Abu Zalim diterima bekerja di sebuah jabatan kerajaan. Jawatannya sederhana dan gajinya juga sederhana tetapi mencukupi untuk menyara kehidupannya. Bapanya telah meninggal dunia. Kakaknya telah berkahwin. Mereka telah tinggal berasingan. Abu Zalim merasakan peristiwa pahit yang dialaminya dahulu sudah dilupakannya. Kemudiannya dia berkahwin dan mendapati kelakiannya masih berfungsi sekalipun sedikit tidak memuaskan. Walaupun keadaan ini sedikit mengecewakannya namun, dia dan isterinya boleh hidup aman. Binatang buas yang dipeliharanya tinggal diam, tidur di dalam dirinya kerana tidak ada apa yang ia boleh buat. Abu Zalim bertambah dewasa dan sifat kemanusiaannya dapat mengawal pintu kandangnya daripada terbuka. Dia hidup bahagia terutamanya bila dikurniakan tiga orang cahaya mata.
Satu hari binatang buas dalam diri Abu Zalim yang tidur nyenyak telah dikejutkan. Kakak Abu Zalim tiba-tiba sahaja datang membawa anaknya yang berumur empat tahun. Si kakak meninggalkan anaknya untuk dijaga oleh Abu Zalim tanpa meminta persetujuan Abu Zalim. Dia mahu ke Kuala Lumpur, mencari pekerjaan untuk menyara kehidupannya setelah berpisah dengan suaminya. Kehadiran kanak-kanak itu menjadi suis yang menghidupkan ‘penderitaan’ Abu Zalim di dalam akal tidak sedarnya. Kebinatangan yang di dalam dirinya memberontak tetapi kemanusiaannya boleh mengawal kebinatangannya. Anak kakaknya itu adalah seumpama seekor anak kucing yang bermain-main di tepi kandang harimau. Harimau memandangnya dengan geram tetapi tidak dapat bertindak kerana kemanusiaan Abu Zalim Melindungi kanak-kanak itu. Tetapi, tatkala Abu Zalim mabuk sifat kemanusiaannya tidak berfungsi dan harimau dalam dirinya terlepas. Sang harimau meluru keluar membaham sang kucing tanpa belas kasihan kerana kemanusiaan yang memiliki kasihan belas tidak ada ketika itu. Apa yang terjadi ialah seekor harimau mengeroyok seekor kucing, bukan Abu Zalim mendera anak saudaranya. Sang harimau memakai rupa Abu Zalim dan sang kucing memakai rupa seorang kanak-kanak. Abu Zalim dan anak saudaranya hanyalah alat kepada ‘tenaga’ yang menguasai keadaan ketika itu. Apabila harimau itu sudah kenyang ia masuk semula ke dalam kandangnya. Kemabukan telah hilang dan Abu Zalim telah kembali kepada kemanusiaannya. Dia merawat luka anak saudaranya. Dia pergi ke tempat kerja seperti biasa, baik dengan semua orang, Padahal semalam dia adalah seekor harimau yang sangat ganas. Dia boleh masuk semula ke dalam masyarakat tanpa membaham sesiapapun. Tidak ada tanda-tanda yang dia telah mengeroyok seorang kanak-kanak yang lemah dan tidak berdosa. Bila dia kembali mabuk kemanusiaannya hilang semula dan harimau dalam dirinya terlepas lagi untuk mengeroyok mangsanya.
Begitulah pekerjaan harimau yang dilahirkan melalui adunan perasaan marah, benci dan dendam. Ia sanggup membalas dendam terhadap seorang kanak-kanak. Hal yang sama boleh terjadi, seorang yang berasa dikhianati oleh Indira Gandhi membalas dendam dengan membunuh Rajiv Gandhi, anak Indira Gandhi. Indira Gandhi yang ‘bersalah’ tetapi anaknya dibunuh. Begitu juga keadaan orang yang menculik anak orang kaya kerana mahu membalas dendam terhadap orang kaya itu. Harimau yang bernama dendam tidak mengerti soal hukum akal dan hukum lojik. Istilah kasihan dan simpati tidak ada dalam kamusnya.
Harimau dalam diri Abu Zalim akan muncul dari masa ke masa setiap kali kemanusiaannya tertanggal daripada dirinya. Binatang ganas itu hanya dapat dikawal oleh kemanusiaan, oleh sebab itulah agama mengharamkan segala makanan, minuman dan perbuatan yang merosakkan kemanusiaan. Akibat perbuatan harimau yang dipeliharanya Abu Zalim ditangkap dan dipenjarakan selama empat tahun. Abu Zalim yang masuk penjara tidak serupa dengan Abu Zalim yang dimasukkan ke hospital ketika berumur 14 tahun dahulu. Abu Zalim dahulu boleh menerima persahabatan yang ditawarkan oleh seekor binatang buas kerana Abu Zalim itu memerlukan semangat untuk bertempur dalam membalas dendam. Abu Zalim yang dipenjarakan ini tidak lagi dikuasai oleh perasaan marah, benci dan dendam, sebaliknya dia dikuasai oleh perasaan menyesal dan keinginan untuk bertaubat. Perasaan ini menjadi racun bagi binatang buas dalam dirinya. Apabila banyak racun yang dimakannya binatang itu pun mati dan bebaslah Abu Zalim daripada cengkamannya. Abu Zalim tidak zalim lagi. Penjara menjadi rumah penyembelihan binatang buas yang ada dalam dirinya.
Kes kajian
Satu lagi kes keganasan yang ingin kita teliti ialah seorang suami yang suka bertindak kasar terhadap isterinya tanpa sebab yang munasabah. Si isteri adalah seorang wanita yang baik, lemah-lembut, bertanggungjawab menguruskan rumah tangga, menyayangi suami, mentaati suami dan tidak melakukan apa yang membosankan suami. Si suami pula menunjukkan sikap sentiasa tidak berpuas hati dengan isterinya. Dia tidak pernah membantu isterinya membuat kerja rumah. Keadaannya di dalam rumah itu adalah ibarat seorang raja. Perintahnya mesti dipatuhi. Semua keperluannya mesti disediakan oleh isterinya tanpa dibantu olehnya. Dia tidak suka memuji isterinya, apalagi memujuk. Dia cepat meradang jika isterinya lambat melakukan apa yang disuruhnya. Dia akan lebih meradang jika isterinya memintanya membuat pekerjaan rumah.
Sikap kasar si suami itu sampai kepada Pengetahuan bapanya. Si ayah itu pun pergilah berjumpa dengan anaknya untuk menasihati anaknya itu. Si ayah memberi contoh tentang dirinya agar anaknya boleh mengambil iktibar. Ayah menasihatkan, “Ayah sudah bertahun-tahun berkahwin dengan emak kamu. Emak kamu itu perangainya kasar, bukan macam isteri kamu yang lemah-lembut. Emak kamu suka memerintah ayah supaya berbuat itu dan ini. Ayah ikut kehendaknya kerana tidak mahu berlaku perbalahan. Ayah takut terjadi perkara yang tidak elok yang akan menyusahkan anak-anak. Biarlah orang kata ayah kena ‘queen control’ ayah tidak kesah asalkan rumah tangga selamat. Kamu ini tidak boleh bertolak ansur langsung dengan isteri kamu. Disebabkan kesalahan yang kecil kamu bertindak kasar”. Begitulah nasihat si ayah. Selepas menerima nasihat ayahnya si anak itu menjadi semakin kasar terhadap isterinya. Mengapa terjadi demikian? Setelah diselami ke dalam jiwa raga si suami itu maka didapati nasihat ayahnya menceritakan tentang penyakitnya. Sejak kecil hingga dewasa dia berada dalam suasana ‘permaisuri memerintah kerajaan’. Dia biasa melihat ibunya memarahi ayahnya di hadapan orang yang bukan ahli keluarga. Dia biasa mendengar ibunya mengeluarkan kata-kata yang kesat kepada ayahnya. Secara ringkasnya dia telah berada dalam suasana ‘isteri bersikap kasar terhadap suami’ selama bertahan-tahun. Keadaan tersebut membuatnya memusuhi rumah tangga di bawah penguasaan ‘control control’. Sejak kecil hingga dewasa dia mempersiapkan askarnya supaya bersedia untuk berperang dengan ‘queen control’. Askarnya sentiasa bersiap sedia, berwaspada dan berjaga-jaga. Dia memasuki alam perkahwinan dengan kelengkapan dan persediaan yang demikian, maka isterinya diserang bertubi-tubi kerana askar yang sudah dilatihnya bertahan-tahun lamanya itu sudah menguasai pemerintahan dalam dirinya.
Jika kita amati kita akan dapati sikap ganas berkait rapat dengan rasa permusuhan dan dendam, samada terhadap seseorang atau sesuatu keadaan. Keganasan yang dihasilkan boleh ditujukan kepada orang tertentu sahaja ataupun kepada sesiapa sahaja.
Abu Zalim memusuhi dan mendendami ayah dan kakaknya, mangsanya adalah anak kakaknya. Si suami dalam kes kedua memusuhi dan mendendami suasana ‘queen control’ dalam rumah tangga, dan isterinya yang menjadi mangsa. Begitu juga dengan kes ketagih kerja. Darif memusuhi dan mendendami kemiskinan dan dia mencurahkan ‘tenaga ganasnya’ kepada pekerjaan, tanpa menyakiti sesiapa pada zahirnya, tetapi pada hakikatnya dia menyakiti musuhnya iaitu kemiskinan.
Kes kajian
Contoh ketiga yang berkaitan dengan penyakit memupuk keganasan dalam diri ialah Darus yang membentuk sifat yang berbeza daripada sifat Darif. Kemiskinan membuat Darus merasakan dirinya dilayan seperti sampah oleh masyarakat. Dia merasakan masyarakat tidak ada kasihan belas dan simpati terhadap dirinya. Dia memusuhi dan mendendami masyarakat secara umum. Semasa kanak-kanak dia suka mencuri buah-buahan tanaman orang-orang kampungnya. Sekali sekala dia tertangkap dan dibelasah. Tindakan orang kampung memukulnya itu menambahkan rasa permusuhan dan dendamnya terhadap mereka. Dia bukan setakat membenci orang yang memukulnya, malah dia membenci seluruh masyarakat. Ketika remaja Darus gemar merosakkan kemudahan sebagai tindakan membalas dendamnya. Dia berkawan dengan kumpulan budak-budak nakal yang juga dibenci oleh masyarakat. Bagi Darus sesiapa sahaja yang menjadi musuh orang ramai adalah kawannya. Bila dewasa Darus benar-benar sudah bersedia untuk menjadi musuh orang ramai. Orang seperti Darus berasa seronok jika berjaya menyusahkan orang ramai. Dia berasa megah jika berita kerosakan yang dilakukannya dimuatkan dalam suratkhabar. Dia berasa seolah-olah memperolehi kemenangan sekiranya orang ramai takut kepadanya.
Orang yang bernama Darus ini termasuk ke dalam golongan yang merancang keganasan atau melakukan keganasan dengan persediaan. Ahli golongan ini boleh merogol dan bersedia membunuh mangsanya tanpa belas kasihan. Mereka boleh merompak dan membunuh orang yang dirompak itu. Binatang buas dalam diri orang yang seperti Darus tidak dikurung langsung. Binatang buas ini keluar memerintah sementara diri Darus yang asli dikurungnya. Apa yang berjalan ke sana ke mari dalam masyarakat bukanlah Darus tetapi harimau jadian yang memakai rupa Darus. Darus sudah dipenjarakan oleh harimau jadian itu. Harimau jadian ini tidak mengenal serik. Ia boleh dipenjarakan beberapa kali. Bila keluar penjara ia kembali mengganas.
Orang yang sudah bertukar menjadi harimau jadian sangat sukar diubati. Mengubati orang ini samalah seperti menghalau seekor harimau yang sedang menggonggong mangsanya. Bagaimana hendak menghalau harimau ini daripada makanannya sedangkan ia sedang lapar? Biasanya sang harimau akan mempertahankan makanannya walaupun ia diserang. Kadang-kadang cara mengenakan kesakitan yang sangat kuat kepada harimau itu boleh membuatnya lari meninggalkan makanannya. Darus mungkin boleh kembali menjadi manusia jika dia menjalani hukuman rotan atau dipotong tangannya. Jika harimau yang menguasainya sangat degil hanya tali gantung yang dapat menghalaunya. Agama mengizinkan hukum potong tangan dijalankan sebagai memberi kesempatan kepada orang yang bertukar menjadi harimau jadian supaya kembali menjadi manusia biasa kerana cara lain tidak mampu menghalau binatang buas yang menawannya. Jika cara ini juga tidak berjaya agama mengizinkan dia dibunuh kerana tidak mungkin lagi dia kembali menjadi manusia.
Kita semua memelihara binatang buas dalam diri masing-masing, cuma kadar keganasan berbeza-beza dan tidak kesemua binatang buas tersebut berpeluang untuk keluar dari kandang mereka. Kita tidak tahu setakat manakah keganasan binatang peliharaan kita kerana ia tidak berpeluang menyatakan keupayaannya. Adakah kita mahu memberinya peluang dengan membiarkannya keluar dari kandang dan menunjukkan kemampuannya? Boleh jadi binatang buas peliharaaan kita lebih ganas daripada yang dipelihara oleh Abu Zalim. Pernah terjadi orang membakar sebuah rumah sehingga seluruh keluarga mati rentung. Permusuhan dan dendam hanya ditujukan ketua keluarga itu tetapi semua ahlinya dihapuskan. Pernah juga terjadi bom jangka dipasang di dalam sebuah kapal terbang yang membawa sebuah pasukan bola sepak. Kapal terbang itu meletup diudara dan kesemua yang ada di dalamnya terbunuh. Permusuhan dan dendam hanya ditujukan kepada pengurus pasukan tetapi satu pasukan menjadi mangsa. Oleh yang demikian janganlah memandang enteng terhadap keupayaan ganas yang kita miliki.
No comments:
Post a Comment