Sunday, November 23, 2008

13-hindari tenaga perosak melalui kaca mata agama

13: MENGENALI TENAGA PEROSAK MELALUI KACAMATA AGAMA
Sepanjang perbincangan yang telah kita lalui kita cuba menghindarkan diri dari memasukkan aspek agama dengan mendalam. Kita dapati apabila kita melepaskan aspek agama maka banyak kekaburan dan kekeliruan timbul dan sukar dijelaskan. Apabila kita ‘keluarkan’ agama dari individu yang menjadi bahan kes kita dapati mereka tidak mempunyai sebarang pertahanan untuk mencegah kemasukan tenaga perosak. Tanpa agama seseorang itu akan dengan mudah dijajah dan diperalatkan untuk memenuhi kehendak kuasa yang menjajah mereka. Tanpa agama juga kita mendapati tiada satu cara yang benar-benar berkesan untuk mengubati individu yang telah ditakluki oleh kuasa penyakit dalaman. Orang yang menghidap penyakit dalaman kemanusiaannya ditekan oleh kehaiwanan. Kita cuba mengenali kuasa kehaiwanan yang menekan kemanusiaan dengan merujuk kepada ajaran agama.
Kuasa kehaiwanan bekerja merosakkan kemanusiaan. Oleh itu ia adalah musuh kepada manusia. Ia juga tidak dapat dilihat oleh mata, tidak dapat dipegang dengan tangan dan tidak dapat didengar dengan telinga. Ia adalah sesuatu yang ghaib. Siapakah musuh manusia yang berunsur ghaib ini? Tuhan telah menjawab pertanyaan ini dengan firman-Nya dalam Surah Yaa Sin, ayat 60 yang bermaksud: “Tidakkah Aku telah berikan peringatan kepada kamu wahai Bani Adam supaya kamu jangan mentaati syaitan kerana ia adalah musuh kamu yang sebenarnya’.
Musuh manusia yang berunsur ghaib itu dinamakan syaitan oleh agama. Syaitan itulah tenaga perosak yang menjadi musuh manusia. Apabila kita melihat tenaga perosak satu persatu maka kita akan berjumpa dengan syaitan dendam, syaitan dengki, syaitan ujub, syaitan ria’, syaitan takabur dan lain-lain lagi nama yang menunjukkan kepada sifat syaitan. Perbezaan nama lahir kerana perbezaan bidang tetapi jika dipandang dari segi merosakkan semuanya adalah sama sifatnya dan memakai satu nama sahaja iaitu syaitan.
Bagaimana syaitan boleh berdampingan dengan manusia dan apa yang terjadi kepada manusia yang didampingi oleh syaitan? Dalam Surah az-Zukhruf, ayat 36 Tuhan menceritakan: “Dan barangsiapa berpaling dari mengingati ar-Rahman nescaya Kami tentukan baginya syaitan, maka jadilah ia (syaitan itu) teman yang tidak terpisah darinya (manusia). Dan mereka (syaitan) menghalang mereka (manusia) dari jalan (yang lurus) sedang mereka (manusia) menyangka mereka terpimpin”.
Mengingati Allah ar-Rahman adalah benteng yang menghalangi syaitan daripada sampai kepada manusia. Jika manusia meruntuhkan benteng ini nescaya mudahlah ia diserang dan seterusnya ditawan oleh syaitan. Bagaimana syaitan menawan manusia? Surah an-Nas, ayat 4 hingga 6 menceritakan: “Dari kejahatan bisikan si pengintai peluang (syaitan) yang membisikkan ke dalam dada manusia, daripada jin dan manusia”.
Syaitan berkomunikasi dengan manusia dengan cara bisikan. Adakah manusia boleh mendengar dengan telinganya akan bisikan syaitan itu? Hal ini sukar dimengerti jika kita hanya memandang kepada aspek zahiriah dan lupa kepada aspek batiniah manusia. Kita perlu merenungi dengan lebih mendalam kepada diri kita yang batin. Cuba perhatikan keadaan Siti Muslihat tatkala menghadapi suasana dikecewakan oleh Mat Salleh. Tubuhnya yang zahir masih sihat walafiat tetapi dia merasakan sejenis kesakitan dalam dadanya. Dia tidak menghadapi penyakit jantung tetapi dadanya sebak seakan-akan mahu pecah. Siti Muslihat yang manakah yang sakit ini? Inilah yang dinamakan Siti Muslihat yang batin. Si pengintai peluang terus mengambil kesempatan lalu membisikkan ke dalam hati Siti Muslihat. Siti Muslihat tidak mendengar orang berbisik ke telinganya tetapi dia mendengar hatinya berkata, ‘Mat Salleh ini memang tidak boleh diharap. Aku telah berkorban untuknya tetapi dia sanggup mengecewakan aku. Satu hari nanti aku akan ajar Mat Salleh ini’. Siti Muslihat menyangkakan hatinya yang berkata tetapi yang sebenar berlaku adalah si pengintai peluang itu yang mengadakan bisikan atau rangsangan dalam hati Siti Muslihat dan dia hanya mengulangi bisikan tersebut sebagai perkataan hatinya sendiri. Beginilah bijaknya si pengintai peluang membuat bisikan sehingga orang yang menerima bisikan itu menyangkakan apa yang berdetik itu adalah kata-kata hatinya sendiri.
Apakah dengan hanya menggunakan bisikan syaitan boleh menjajah manusia? Hasil pertama yang diperolehi oleh syaitan melalui bisikannya ialah timbul waswas dalam hati manusia. Waswas yang timbul dalam hati adalah tanda bahawa syaitan sudah menyampaikan bisikannya. Jika kita perhatikan pada diri manusia kita dapati yang membuat keputusan muktamad ialah hati. Juru nasihat bagi hati ialah akal. Akal menjadi tenaga yang sentiasa cuba menembusi pintu hati serta mempengaruhinya untuk membuat keputusan yang sesuai dengan pertimbangan akal. Waswas pula adalah tenaga yang menghalang tenaga akal dari memasuki hati. Jika tenaga waswas kuat ia mampu menyekat tenaga akal dari memasuki hati. Hati yang tidak mempunyai penasihat akan mudah dijajah oleh tenaga waswas. Bila waswas sudah bertapak dalam hati mudahlah syaitan membentangkan rencananya. Dalam peringkat di mana hati sudah waswas dan syaitan sudah boleh mengawal hati, tenaga akal dibenarkan masuk ke dalam hati tetapi sebagai alat untuk melaksanakan rencana syaitan. Akal tidak lagi berfungsi sebagai penasihat sebaliknya ia menjadi juru fikir untuk melakukan kejahatan. Sebab itulah kita dapati orang melakukan kejahatan dengan perancangan yang rapi kerana akalnya telah tunduk kepada pemerintah yang jahat. Akal seperti ini dipanggil akal yang bingung. Surah al-An’aam, ayat 71 menceritakan: “… seperti orang yang disesatkan oleh syaitan-syaitan di bumi, dalam keadaan bingung, sedang ia pula mempunyai sahabat-sahabat yang mengajaknya ke jalan yang lurus”.
Akal yang sudah bingung menolak persahabatan orang yang mengajak kepada kebaikan sebaliknya memperkuatkan persahabatan dengan syaitan-syaitan yang mengajak kepada kemungkaran, kefasikan dan kejahatan. Bagaimana sifat-sifat hati yang bersahabat dengan syaitan? Di antara sifat-sifatnya ialah: 1: “Sesungguhnya syaitan itu hanyalah bermaksud menimbulkan permusuhan dan kebencian di antara kamu…” (Surah Al-Maaidah, ayat 91).
Hati yang sudah menghidapi penyakit dalaman yang dibawa oleh syaitan akan terdorong untuk bermusuhan dan berbencian dengan suami atau isteri, dengan kawan-kawan, dengan jiran dan dengan sesiapa sahaja.
2: “Syaitan itu menakut-nakutkan kamu dengan kemiskinan dan kepapaan dan ia menyuruh kamu melakukan perbuatan yang keji”. (Surah al-Baqarah, ayat 268).
Hati yang dijajah oleh syaitan sangat takutkan kemiskinan dan kepapaan. Segala tenaga dan kepandaian ditujukan kepada mengumpul harta. Kalau boleh dia mahu kumpulkan harta yang cukup untuk menyara anak cucunya sampai tujuh keturunan kerana dia takut anak cucunya juga nanti akan miskin dan papa. Ketakutan kepada kemiskinan dan kepapaan menerbitkan keberanian melakukan kejelikan asal sahaja dapat memperolehi harta. Timbullah penipuan, rasuah, judi dan sebagainya.
3: “Wahai sekalian manusia! Makanlah dari apa yang ada di bumi, yang halal lagi baik, dan janganlah kamu ikut jejak syaitan kerana sesungguhnya syaitan itu ialah musuh kamu yang terang nyata”. (Surah al-Baqarah, ayat 168).
Agama menyeru manusia mengambil yang baik-baik sahaja sementara syaitan pula menarik manusia supaya mengambil yang tidak baik.
4: “Ia (syaitan) hanya menyuruh kamu melakukan kejahatan dan perkara-perkara yang keji, dan (menyuruh) kamu berkata (dusta) terhadap apa yang kamu tidak ketahui”. (Surah al-Baqarah, ayat 169).
Syaitan bukan sahaja mengajak manusia berbuat kejahatan dan kekejian, malah syaitan juga mengajar manusia supaya berdusta.
5: “Demi Allah! Sesungguhnya Kami juga telah mengutuskan (Rasul-rasul) kepada umat-umat sebelum kamu, lalu syaitan memperelokkan pada pandangan mereka yang ingkar akan amal-amal mereka yang jahat itu…”. (Surah an-Nahl, ayat 63).
Syaitan mengelabui mata hati manusia sehingga mereka menyangkakan perkara buruk, keji dan jahat itu mendapat keredaan Allah s.w.t. Wujudlah upacara pemujaan sesama manusia dan sesama makhluk dengan kepercayaan itulah jalan yang benar. Mereka menolak kebaikan yang dibawa oleh Rasul-rasul kerana syaitan telah menghias perbuatan yang menyalahi perjalanan Rasul-rasul sebagai perbuatan yang baik dan benar.
6: “Sesungguhnya orang-orang yang boros itu adalah saudara syaitan sedangkan syaitan itu adalah makhluk yang sangat kufur kepada Tuhannya”. (Surah al-Israa’, ayat 27).
Boros adalah sifat syaitan yang turut sama dimiliki oleh orang yang bersahabat dengan syaitan. Boros membawa manusia lebih hanyut di dalam tiupan syaitan hingga tidak tahu bersyukur kepada Tuhan yang mengurniakan nikmat kepada mereka.
7: “Dan katakanlah kepada hamba-hamba-Ku supaya mereka berkata dengan kata-kata yang amat baik (kepada orang yang menentang kebenaran) sesungguhnya syaitan-syaitan itu sentiasa menghasut antara mereka (yang mukmin dan yang menentang). Sesungguhnya syaitan itu adalah musuh yang nyata bagi manusia”. (Surah al-Israa’, ayat 53).
Orang mukmin disarankan supaya berhati-hati dengan pertuturannya kerana ia mudah disalah-mengertikan akibat gangguan syaitan. Sangat merbahaya jika perkataan yang diputar-belitkan oleh syaitan itu melibatkan soal akidah. Perkataan yang diucapkan dengan tujuan yang baik boleh berubah menjadi ilmu sesat atau fitnah sesama manusia Hikmah kebijaksanaan sangat perlu di dalam menyampaikan kebenaran.
8: “Lalu syaitan membisikkan kepadanya, ‘Wahai Adam, mahukah aku tunjukkan kepada kamu pohon yang menyebabkan hidup selama-lamanya dan kekuasaan yang tidak akan hilang lenyap?’” (Surah Ta Ha, ayat 120).
Racun yang paling bisa dibalut dengan pembungkus yang sangat elok ini ditunjukkan oleh syaitan kepada Bani Adam. Bapa kepada sekalian manusia telah terpedaya kerana inginkan kekekalan di dalam syurga yang tidak akan binasa selama-lamanya. Adam a.s sudah tahu yang kehidupan di dalam dunia penuh dengan kesukaran dan bersifat sementara. Oleh itu jika berpeluang hidup kekal di dalam syurga tentu sahaja dia inginkannya. Bila dia mencuba pokok kekekalan yang syaitan kata itu maka berlakulah yang bertentangan dengan apa yang syaitan kata. Adam berpisah dengan kesenangan dan keabadian syurga dan dihantar ke tempat yang memayahkan. Syaitan yang ikut turun ke dunia membawa bersama ‘pokok kekekalan’ yang telah berjaya memperdayakan bapa sekalian manusia itu. Manusia yang merasai pokok ini akan merasakan yang umurnya sangat panjang atau dia tidak akan mati lagi. Yang mati setiap hari adalah orang lain bukan dia. Bila manusia sudah merasakan hidup kekal di dunia maka cintalah dia kepada dunia dan lupalah dia kepada akhirat. Bertambah mudahlah manusia diheret ke jalan menderhakai Tuhan.
“Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu menurut jejak langkah syaitan dan sesiapa yang menurut jejak langkah syaitan maka sesungguhnya syaitan itu sentiasa menyuruh manusia melakukan perbuatan yang keji dan mungkir. Dan kalaulah tidak kerana limpah kurnia Allah dan rahmat-Nya nescaya tidak ada seorang pun di antara kamu yang menjadi bersih dari dosanya selama-lamanya, akan tetapi Allah membersihkan sesiapa yang Dia kehendaki dan ingatlah Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui”. (Surah an-Nuur, ayat 21).
Manusia sangat lemah dalam menghadapi tipu daya syaitan. Tetapi Allah mengetahui bahawa sebahagian daripada mereka yang terpedaya itu bukan sahaja mahu derhaka kepada-Nya. Allah Yang Maha Pengampun, Maha Pengasih, menyelamatkan manusia yang sedemikian dengan dibukakan pintu taubat sebagai pembersihan. Adam a.s dan sebahagian anak cucunya menjadi bersih kerana taubat sebagai kurniaan dan rahmat dari Allah s.w.t. Tetapi ada juga yang enggan bertaubat malah terus juga diheret oleh syaitan. Siapakah mereka itu?
“Mahukah Aku beritahu kepada kamu atas siapakah turun syaitan-syaitan? Mereka turun atas tiap-tiap pendusta yang berdosa”. (Surah asy-Syura, ayat 21 & 22).
Pendusta yang berdosa itulah sahabat setia syaitan. Dalam golongan yang paling atas antara mereka ialah Namrud dan Firaun yang berdusta dan berdosa kerana mengaku diri mereka sebagai tuhan. Yang hampir dengan mereka ialah Haman pembantu Firaun, Qarun yang mengaku menjadi tuhan harta dan ramai lagi. Sesudah golongan ini ialah puak ahli nujum, tukang tilik dan ahli sihir yang mengambil berita daripada syaitan-syaitan. Sesudah itu golongan munafik yang berpura-pura mematuhi agama. Seterusnya yang mentafsir ayat-ayat Allah dan ucapan Rasul-rasul menurut hawa nafsu mereka. Seterusnya sekalian pendusta dalam segala bidang. Puak merekalah yang mengeluarkan fatwa seperti ‘dosa sedikit tidak apa’, ‘pura-pura bermaksiat kerana tujuan lakunan tidak mengapa’, ‘sedikit dosa kerana tujuan mengutip derma tidak mengapa’, ‘melentur sedikit peraturan Tuhan tidak mengapa kerana kita dalam darurat’ dan banyak lagi fatwa-fatwa yang direka untuk kesenangan hawa nafsu mereka.
Al-Quran telah menceritakan dengan jelas tentang tenaga dan sifat syaitan yang menjadi tenaga penggerak merosakkan kemanusiaan yang bermula dengan manusia itu sendiri meruntuhkan benteng ingat kepada ar-Rahman dan masuk ke dalam alam waswas. Di dalam alam waswas manusia menerima sifat-sifat syaitan sebagainya sifatnya sendiri lalu mempertahankannya sebagaimana dia mempertahankan maruah dirinya sendiri. Setelah diketahui sifat syaitan yang menjadi tenaga perosak itu timbul pula pertanyaan siapakah syaitan itu?
“Dan (ingatlah) peristiwa tatkala Kami berfirman kepada malaikat-malaikat, ‘Sujudlah kepada Adam’, lalu mereka sujud kecuali iblis. Adalah ia berasal dari golongan jin, lalu derhaka ia kepada perintah Tuhannya. Oleh itu apakah patut kamu jadikan iblis dan keturunannya sahabat-sahabat akrab kamu? Sedang mereka itu ialah musuh bagi kamu, amatlah buruknya bagi orang-orang yang zalim, pengganti yang mereka pilih’”. (Surah al-Kahfi, ayat 50).
Ada satu jenis makhluk yang berbangsa jin. Jin yang pertama telah derhaka kepada Allah s.w.t dan ia dinamakan iblis. Iblis menjadi pemimpin kepada jin-jin yang derhaka kepada Tuhan. Jin yang derhaka itu dinamakan syaitan. Jin juga hidup seperti manusia dan boleh melakukan berbagai-bagai pekerjaan dan boleh juga membantu pekerjaan manusia. “Maka Kami kabulkan permintaannya (Sulaiman) lalu Kami mudahkan baginya menggunakan angin yang bertiup perlahan-lahan menurut kehendaknya, ke arah mana sahaja yang hendak ditujunya. Dan Kami mudahkan baginya memerintah golongan (jin) yang pandai membina bangunan dan yang menjadi penyelam”. (Surah Sad, ayat 36 – 38).
Ayat di atas menerangkan bahawa Nabi Sulaiman a.s diberi kekuatan dan keupayaan mengawal angin dan jin. Jin telah diperintahkan untuk membina bangunan dan mengambil khazanah dari dasar laut. Mengetahui keadaan Nabi Sulaiman a.s ini maka adalah manusia yang mempelajari ilmu mengawal angin dan jin. Mungkin ilmu mereka tidak sampai ke tahap membawanya terbang di udara atau berkebolehan mengarahkan jin membuat bangunan, meratakan tanah dan mencabut pokok-pokok tetapi orang berkenaan mungkin boleh meminta pertolongan jin peliharaannya untuk melakukan pekerjaan yang ringan seperti mendatang waswas ke dalam hati orang lain.
Misalnya seorang perempuan yang memakai ilmu jin bagi tujuan mencantikkan wajahnya dan membuat orang ramai mendengar perkataannya. Jin peliharaan akan membisikkan ke telinga orang lain dengan mengatakan tuannya cantik dan suaranya merdu. Bila berkali-kali jin itu membisikkan demikian maka si pendengarnya menjadi waswas dan menerima rangsangan jin itu lalu mengakui bahawa perempuan berkenaan adalah cantik dan suaranya adalah merdu dan ucapannya adalah benar. Biasa terjadi orang ramai menjadi terpesona apabila berhadapan dengan perempuan pemelihara jin ini. Jin ini boleh juga digunakan untuk merosakkan rumah tangga orang lain. Si jin akan membisikkan ke dalam hati orang yang lebih lemah semangatnya di antara satu-satu pasangan itu. Si jin akan membisikkan rasa permusuhan dan kebencian, mencurigai antara satu sama lain. Kesudahannya berlakulah perceraian atau pergaduhan. Ada juga dukun yang menggunakan jin untuk membawa sesuatu barang seperti batu permata atau peralatan yang dikatakan bahan sihir yang ditanam di sesuatu tempat, sesuatu barang itu tiba-tiba sahaja menjelma di dalam bekas yang kosong. Keanihan ini kadang-kadang membuat sebahagian orang menganggap perbuatan jin itu sebagai sesuatu kekeramatan. Orang yang bersahabat dengan jin dikatakan seorang wali Allah.
Walaupun orang yang memelihara atau bersahabat dengan jin mendapat faedah daripadanya namun, pada hakikatnya dia yang dipergunakan oleh jin. “…bahkan mereka adalah mempertahankan jin dan syaitan..” (Surah Sabaa’, ayat 41).
Berbagai-bagai cara manusia memperhambakan diri kepada jin. Pengamal ilmu kebatinan yang sesat akan menjadikan jin sebagai sumber kekuatannya. Ahli keagamaan yang sesat menganggap jin sebagai sumber kuasa ketuhanan. Berbagai-bagai nama digunakan bagi disesuaikan dengan kuasa yang mereka imani, tetapi walau apa nama dipakai hakikatnya adalah jin juga. Dalam amalan yang demikian ada pantang larang dan amalan yang mesti dilakukan. Di sinilah manusia benar-benar diperbodohkan dan diperhambakan oleh jin.
Setelah menerangkan tentang jin dan syaitan yang merosakkan manusia al-Quran menggesa manusia supaya berperang dengan golongan tersebut. “Orang-orang yang beriman berperang pada jalan Allah, dan orang-orang kafir berperang pada jalan Taghut (syaitan). Oleh sebab itu perangilah pengikut-pengikut syaitan itu kerana tipu daya syaitan adalah lemah”. (Surah an-Nisaa’, ayat 76).
“Dan (ingatlah) ketika memperhiaskan kepada mereka perbuatan mereka (yang salah itu untuk dipandang elok dan diteruskan serta menghasut), ‘Pada hari ini tidak ada sesiapa pun dari umat manusia yang dapat mengalahkan kamu, dan sesungguhnya aku adalah pelindung dan penolong kamu’. Apabila kedua-dua pihak (angkatan tentera Islam dan tentera kafir musyrik) masing-masing berhadapan syaitan itu berundur (sambil berkata), ‘Aku berlepas diri dari kamu kerana aku melihat apa yang kamu tidak lihat. Sesunguhnya aku takut kepada Allah dan Allah amat berat azab seksanya’”. (Surah al-Anfaal, ayat 48).
Orang yang kemasukan tenaga syaitan akan merasakan dirinya yang kuat dan benar, perbuatan jahatnya tidak akan diketahui oleh orang lain dan dia akan menang melawan sesiapa sahaja. Semangat orang itu diapi-apikan oleh syaitan. Apabila berhadapan untuk berlawan dengan orang yang beriman terjadilah apa yang diceritakan oleh ayat di atas. Syaitan dapat melihat bahawa orang yang beriman tidak datang sendirian. Tentera Allah ada bersama-samanya walaupun mata tidak dapat melihatnya. Syaitan tahu dia tidak akan dapat melawan tentera Allah. Jika dia tunggu dia akan mendapat seksaan, lebih baik dia lari. Tinggallah sahabat syaitan itu bersendirian menghadapi orang yang beriman. Bila syaitan sudah cabut lari pudarlah semangatnya. Ketika itu datanglah rasa kecut dalam hatinya melihat keperkasaan orang yang beriman. Keberanian dan kepandaiannya tidak ada lagi, lalu dia juga ikut lari. Inilah fenomena yang terjadi ketika tentera Islam berhadapan dengan tentera kafir. Walaupun tentera Islam sedikit tetapi mereka dapat mengalahkan tentera kafir yang ramai. Orang Islam haruslah sedar tentang kekuatan yang Allah s.w.t pertaruhkan kepada mereka. Jika kita sanggup berjuang mengibarkan bendera tauhid tentu sekali Allah s.w.t akan menghantar pertolongan-Nya yang tidak akan dapat dikalahkan oleh peluru berpandu dan bom nuclear musuh. Bila syaitan sudah lari dari medan perang musuh akan lemah semangat dan boleh dikalahkan walaupun mereka mempunyai senjata yang canggih. Pokoknya berjuanglah kerana Allah, bukan kerana parti, bukan kerana bangsa, bukan kerana negara. Hanya kerana Allah semata-mata. Jika dalam perjuangan kerana Allah itu ada parti, bangsa dan negara maka bawalah ia bersama-sama sebagai amanah Allah bukan sebagai mahkota yang dijunjung. Bila kaum Muslimin berjuang kerana Allah nescaya akan sampailah janji Allah membantu kaum yang beriman.

No comments: