
REUTERS/ANDREW BIRAJ

REUTERS/ANDREW BIRAJ
Hendaklah kita yakin kebenaran setelah MENDENGAR ayat-ayat ALLAH (Al Quran) di dunia tetapi jangan menyesal setelah MELIHAT kebenaran diakhirat.
Kehidupan ini pada zahirnya dikawal oleh hukum sebab musabab. Hukum sebab musabab berjalan melalui makhluk, maka kelihatanlah tindakan makhluk mencorakkan berbagai-bagai keadaan dan peristiwa. Kehidupan ini adalah umpama sebuah keretapi. Pengalaman yang diharungi oleh seseorang menjadi batang-batang besi sambung menyambung membentuk landasan dan memaksa keretapi bergerak mengikut arah yang terbentuk. Keretapi tersebut bergerak mengheret gerabak-gerabak yang muatannya adalah berbagai-bagai anasir yang berkumpul dalam sistem sebab musabab, terdiri daripada berbagai-bagai jenis makhluk, memakai berbagai-bagai rupa dan nama. Semakin banyak sistem sebab musabab yang dikumpulkan semakin banyak juga makhluk yang mengenderai keretapi. Jika bahan yang dibawa terlalu banyak enjin keretapi tidak terdaya menarik gerabak-gerabak yang penuh dengan muatan itu. Keadaan ini memaksa keretapi berhenti kerana kehabisan tenaga. Tatkala itu semua bahan-bahan yang dimuatkan ke dalam gerabak keretapi perlu dinilai semula. Hasil daripada penilaian semula akan didapati banyak daripada muatannya adalah bahan yang tidak berguna. Sebahagiannya adalah sampah sarap dan sebahagian lagi benda-benda sisa buangan yang kotor dan menjijikkan.