Monday, June 9, 2008

7 terbunuh akibat amuk di tokyo


12 mangsa turut cedera ditikam lelaki mengaku ahli sindiket yakuza Tujuh maut amuk di Tokyo
penyelamat dari Jabatan Bomba Tokyo membantu mangsa-mangsa yang cedera dalam kejadian amuk di daerah perniagaan Akihabara, Tokyo, semalam. - AP
TOKYO 8 Jun - Sekurang-kurangnya tujuh terbunuh manakala 12 yang lain cedera ditikam oleh seorang lelaki yang mengamuk di kawasan membeli belah terkenal di Tokyo hari ini.
Lelaki berkenaan Tomohiro Kato, 25, yang berjaya diberkas oleh polis mengaku sebagai anggota sindiket jenayah yakuza.
Dia merempuh para pengunjung dengan menggunakan sebuah trak yang disewa sebelum menjerit dan menikam mereka yang lalu lalang di pusat membeli-belah barangan elektronik di daerah Akihabara.
Polis bagaimanapun menyatakan lelaki ini bukan anggota kumpulan tersebut.
"Lelaki ini memberitahu polis dia datang ke sini untuk membunuh orang. Alasannya dia sudah bosan dengan hidup ini," kata jurucakap Jabatan Polis Metropolis Tokyo, Jiro Akaogi.
Sekurang-kurangnya 18 orang ditikam oleh lelaki berkenaan dan tujuh daripada mereka mati dalam kejadian yang berlaku pada waktu tengah hari itu, kata seorang pegawai kanan Jabatan Bomba Tokyo.
Menurut seorang saksi yang tidak mahu dikenali, beliau melihat seorang mangsa tikaman terbaring dalam keadaan tidak sedarkan diri di tepi jalan dan darah kelihatan keluar membuak-buak.
Daerah Akihabara secara tradisinya merupakan pusat membeli-belah barangan elektronik dan menjadi pusat tumpuan pelancong dari dalam dan luar negara.
- Reuters

No comments: