Tuesday, September 15, 2009

Habib Bourguiba-Pemikiran SKEPTIK Terhadap Agama


Kenapa dia berkata begitu? Dia tak faham al-Quran dan Sunnah ke?” seorang hadirin ceramah mengkritik.“Apa dia tidak baca sirah? Buta sejarah?” tambah seorang lagi.Semua naik angin.Marah dengan Habib Bourguiba.Beliau adalah Presiden Tunisia yang pertama, memerintah dari tahun 1957 hingga 1987. Bourguiba selalu disinonimkan dengan Mustafa Kemal Ataturk kerana keghairahannya kepada pembaratan yang disamakan dengan pemodenan.


Isunya ialah pada tahun 1961. Habib Bourguiba telah mengeluarkan arahan tidak membenarkan penjawat awam di negaranya, Tunisia, berpuasa di bulan Ramadhan. Bagi menegaskan arahan itu, beliau dan anggota kabinetnya telah muncul secara langsung di kaca televisyen pada tengah hari bulan Ramadhan dan mereka makan beramai-ramai.Alasan Habib Bourguiba senang sahaja, berpuasa mengurangkan produktiviti negara!


SINIS AGAMA


Pandangan Habib Bourguiba itu, jika mahu dikategorikan, ia termasuk di dalam apa yang dinamakan sebagai Religious Skepticism. Pemikiran skeptik atau sinis terhadap agama ini berperingkat.


Ada sinis yang merujuk kepada beberapa aspek di dalam ajaran agama. Seseorang itu mungkin sinis dengan hukum membasuh jilatan anjing dengan tanah. Atau hukum menutup aurat. Mungkin juga soal harta pusaka yang dibahagian dua bahagian kepada pewaris yang lelaki dan satu bahagian kepada pewaris yang perempuan.


Ada juga pemikiran skeptik, ditujukan kepada institusi agama. Misalnya, anti ‘orang masjid’, mungkin juga kepada pihak berkuasa agama seperti JAWI, JAIS, JAKIM dan lain-lain. Tidak lupa dengan alergi mereka kepada parti politik Islam, atau badan-badan yang menjadikan Islam sebagai identiti organisasi mereka.


Peringkat ketiga pula, ialah pemikiran skeptik terhadap keseluruhan ajaran agama. Mereka tidak semestinya anti Tuhan atau atheist namun mereka sinis terhadap semua agama yang dianggap sebagai doktrin yang penuh kecurigaan.


Walau apa pun bentuk Religious Skepticism yang muncul, kesemuanya adalah reaksi. Apabila diertikan sebagai reaksi, tentu ada sesuatu yang berlaku sebagai reaksi kepada kejadian tersebut.

Dari: http://full-timemuslim.blogspot.com/

No comments: